utama

Bahrain buat Harimau Malaya 'bungkus awal'

Oleh Firdaus Hashim

Doha: Hasrat skuad Harimau Malaya untuk melangkah jauh dalam kempen Piala Asia 2023 musnah selepas tumbang 0-1 kepada Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad di sini, malam tadi.

Malaysia yang wajib meraih kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan E itu dihampakan dengan jaringan lewat Ali Madan pada masa kecederaan biarpun pasukan negara sebelum itu bertahan cukup ampuh sepanjang 90 minit permainan.

Kekalahan kali kedua berturut-turut itu menyaksikan Malaysia 'bungkus awal' dan gagal meraih sebarang mata daripada dua aksi.

Bagi memastikan misi meraih mata tercapai, Kim Pan-gon membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama dengan mempertaruhkan dua pertahanan baharu, Dominic Tan dan Shahrul Saad serta Syamer Kutty Abba dan Paulo Josue di hadapan.

Dalam aksi itu, skuad negara berhasil meraih sekurang-kurangnya tiga percubaan pada separuh masa biarpun bermula agak perlahan dalam 10 minit pertama.

Peluang keemasan hadir menerusi rembatan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-15 selepas satu serangan balas yang dicetuskan Faisal Halim namun percubaannya berjaya ditepis Ebrahim Lutfalla.

Empat minit kemudian, hantaran silang tonggak naturalsiasi Paulo Josue di depan pintu gol Bahrain gagal disambar Arif Aiman ketika gawang lawan sudahpun ternganga luas.

Malaysia yang tumbang 0-4 di tangan Jordan pada aksi pertama hampir di depan hasil percubaan ketua pasukan Matthew Davies tetapi ia sedikit tinggi melewati palang gol pada minit 27.

Gawang negara hampir bocor sebelum tamat babak pertama namun Dominic Tan sempat mengeluarkan bola di atas garisan selepas Komail Al Aswad berjaya melepasi pertahanan negara.

Bersambung babak kedua, lawan yang menghuni ranking 86 dunia memasukkan penyerang tinggi lampai, Abdulla Yusuf dan kemasukan pemain kelab Mlada Boleslav di Liga Republik Czech itu nyaris menghasilkan gol di minit 55 namun tandukannya tersasar.

Kubu negara cemas lagi pada minit 72 namun hantaran Mohamed Adel gagal disudahkan Mahdi Humaidan untuk melegakan penjaga gol negara Syihan Hazmi.

Menuju penghujung permainan, Davies hampir memecah kebuntuan tetapi rembatan padunya melambung tinggi sebelum Syihan menyelamatkan percubaan berbahaya Ali Hassan untuk mengakhiri aksi tanpa jaringan.

Bagaimanapun, hasrat untuk meraih satu mata tidak kesampaian apabila Madan muncul melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal di tampan Syihan sekali gus membantu Bahrain menggenggam tiga mata penuh.

Selepas ini Malaysia yang berada di tangga ke-130 dunia akan melengkapkan jadual dengan berdepan gergasi Asia Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis depan manakala Bahrain menentang Jordan.

Disiarkan pada: January 21, 2024 @ 12:40am
d