utama

'Ini tugas cukup berat bagi saya'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PERANAN Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menjadi benteng hadapan pertahanan bukan sekadar mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

Ia juga tidak terhad kepada memperkukuhkan kesiapsiagaan pertahanan negara, sebaliknya turut melaksanakan tanggungjawab dalam membantu kerajaan membina keupayaan pembangunan negara.

Kafe Ahad minggu ini menemubual Panglima Tentera Darat Ke-30, JENERAL DATUK MUHAMMAD HAFIZUDDEAIN JANTAN bagi mengulas mengenai perancangan, aset dan pandangan bersama wartawan HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR, juruvideo, SAIFUL ISKANDAR ISMAIL dan jurugambar, ASYRAF HAMZAH.

Pertama sekali, tahniah di atas pelantikan sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-30. Selepas mengambil alih jawatan ini, apakah penekanan atau hala tuju yang ingin Datuk laksanakan seterusnya?

Alhamdulillah dan terima kasih atas ucapan. Ini satu tanggungjawab yang cukup berat bagi saya untuk memenuhi aspirasi rakyat dan negara untuk membawa Tentera Darat (TD) ke peringkat yang lebih tinggi. Tumpuan saya adalah untuk menyokong dan mendukung aspirasi Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke arah membentuk angkatan masa hadapan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kita kini sedang merangka strategi ataupun tindakan untuk membangunkan keupayaan TD supaya dapat memenuhi aspirasi konsep peperangan pelbagai domain yang merupakan satu ciri angkatan  masa  hadapan.

Dalam Perintah Ulung Datuk baru-baru ini menekankan tiga aspek penting iaitu Man, Machine dan Method. Bagaimana Datuk melihat kenapa kurangnya kaum bukan Bumiputera menyertai ATM?

Melalui perintah ulung saya yang dikeluarkan baru-baru ini, saya menggariskan tiga objektif utama iaitu dari segi kesiagaan atau kesiapsiagaan, kemampanan organisasi dan sahsiah kepahlawanan. Ketiga-tiga objektif ini kita akan capai melalui penumpuan sinergi 3M iaitu Man, Machine, Method (Manusia, Mesin, dan Metode). Saya meletakkan lima teras utama yang saya akronimkan sebagai SIAGA iaitu Sumber manusia yang cakna etos kepahlawanan; Inovasi peperangan bersama; Agenda pengukuhan keupayaan; Gagasan tentera dan rakyat; dan Anjakan diplomasi pertahanan. Saya yakin dengan strategi yang digarap ini, kita mampu memperkukuhkan keupayaan TD dan mendukung ATM ke arah membentuk angkatan masa hadapan.

Berkaitan penyertaan kaum lain di dalam TD, penyertaan bangsa India hanya 1.1 peratus; Cina 0.3 peratus; Melayu 82.3 peratus; Bumiputera Sabah dan Sarawak 15.2 peratus dan Kaum Asli 1.1 peratus. Berdasarkan peratusan ini, kita lihat penyertaan kaum lain yang berada dalam perkhidmatan adalah pada tahap yang minimum. Secara berterusan, pihak Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa berusaha menambah baik skim perkhidmatan dari semasa ke semasa. Kita juga sedang berusaha memohon agar kerajaan mempertimbangkan keperluan dengan menaik taraf gred bagi menjamin pulangan yang  lebih  menarik.

Dari aspek Machine bagi memperkukuhkan keupayaan dan daya tempur Tentera Darat untuk menghadapi ancaman semasa, apakah keutamaan Datuk dalam rancangan perolehan peralatan dan aset Tentera Darat ketika ini?

Tentera Darat sudah ditubuhkan lebih 90 tahun, jadi sejak penubuhan sehingga sekarang kita sudah melalui pelbagai peringkat berdasarkan kepada ancaman semasa yang dihadapi daripada zaman Perang Dunia Kedua, kemudian kita masuk ke era darurat pertama dan kedua serta era perang dingin sehinggalah keadaan sekarang. Pada masa ini, selain daripada ancaman tradisional kita juga menghadapi ancaman bukan tradisional, di mana kita melaksanakan operasi di persempadanan negara bagi mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan barangan dan manusia serta barang-barang terlarang.

Berhubung isu keusangan aset yang dihadapi oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Darat Malaysia khususnya, adakah aset berkenaan masih efektif digunakan dan bagaimana Datuk melihat isu ini?

Dalam mendepani cabaran aset usang ini, kita merancang supaya life extension programme atau program modenisasi dilaksanakan kepada peralatan-peralatan membabitkan aset berkenaan. Namun demikian, bagi aset yang terlalu usang dan sudah melalui life extension programme contohnya Kereta Perisai APC Condor yang usianya sudah melebihi 40 tahun dan melalui fasa life extension programme pada 20 tahun yang lalu, kita terpaksa tidak menggunakannya lagi. Dengan itu, kita perlu membuat perolehan baharu. Bagi aset-aset lain pula, kita laksanakan unjuran pada usia aset berkenaan dan apabila hampir mencapai tempoh , kita akan memohon bagi life extension progamme kerana kita sedar kerajaan tidak mampu untuk membuat perolehan secara serentak.

Melihat kepada pendekatan terkini bagi perolehan peralatan dan aset tentera melalui kaedah penyewaan contohnya seperti helikopter Blackhawk yang disewa saja. Mengapa ia tidak dibeli dalam jumlah yang ideal bagi memenuhi keperluan Tentera Darat?

Kita melihat proses perolehan melalui sewaan ini ialah satu strategi jangka pendek untuk memenuhi jurang keupayaan. Mengambil contoh helikopter Blackhawk, kita memang memerlukan keupayaan helikopter kemampuan sederhana untuk tujuan operasi dan latihan bagi membantu unit-unit yang sedang beroperasi di sempadan negara dan juga latihan pasukan khusus seperti Gerak Khas dan 10 Briged (Para).

Untuk TD membuat perolehan ataupun membeli helikopter baharu, proses itu akan mengambil masa yang lama. Kita tidak mampu untuk menunggu terlalu lama bagi mendapatkan keupayaan kerana ia perlu dibangunkan melalui siri pembangunan yang cukup lama. Contohnya semasa kita membeli MD530, keseluruhan proses perolehan itu sendiri mengambil masa hampir enam tahun. Jadi, dalam situasi ini, TD mengambil pendekatan melalui kaedah sewaan.

Dengan itu, kita akan dapat memperolehi keupayaan itu dengan lebih cepat. Perkara ini juga bukan asing kepada kami, malah kita juga pernah membuat konsesi penyewaan bot-bot tempur bagi operasi-operasi di persisiran pantai Sabah.

Berkenaan perancangan untuk perolehan kereta perisai baru yang akan menggantikan Condor, bolehkah Datuk maklumkan apakah perkembangan terkini?

Berkaitan perkembangan terkini bagi penggantian Kereta Perisai APC Condor, TD masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan untuk menetapkan kaedah perolehan yang akan dilaksana membabitkan 136 buah kereta perisai baharu bagi memenuhi keperluan di dua unit rejimen Kor Armor Diraja (KAD) menggantikan kereta perisai APC Condor yang lama.

Dari aspek keupayaan, sebenarnya jumlah kereta perisai berkenaan masih belum memenuhi keperluan di mana kita sebenarnya memerlukan sebanyak 224 buah.

Bagaimanapun, kita bersyukur dengan apa yang kita dapat dan akan cuba melengkapkan kedua-dua unit berkenaan selepas menerima 136 unit kenderaan itu nanti.

Berdasarkan pengalaman perolehan sebelum ini, proses penerimaan sememangnya mengambil masa. Kita jangkakan perolehan ini akan mengambil masa dua hingga empat tahun. Bagi tahun 2024, kami akan membuat perolehan kereta perisai bagi kegunaan MALBAT di Lubnan dan akan menilai semula keperluan bagi tahun  berikutnya.

Mengambil iktibar dari perang Ukraine-Rusia di mana dron digunakan sebagai senjata yang mampu menjadi ancaman utama. Pada pandangan Datuk bagaimana Tentera Darat harus bersedia untuk menghadapi perang dron ini?

Kita sedar bahawa penggunaan dron kini semakin maju berbanding dahulu yang mana hanya digunakan sebagai elemen pemantauan maklumat-maklumat perisikan. Mengambil iktibar dari Perang Ukraine-Rusia, kini dron digunakan sebagai Loitering Munition yang juga dikenali sebagai suicide drone dan sebagainya.

Jadi, kita maklum mengenai kemajuan teknologi dron ini. Di peringkat TD, sejak 2010 lagi kita sudah buat projek rintis kajian pembangunan. Bagaimanapun, ia lebih kepada pemantauan menggunakan dron taktikal berskala kecil dan besar. Selain itu, TD juga dalam kajian membangunkan doktrin berkenaan dengan dron. Bukan hanya sekadar tugas pemantauan sahaja, malah termasuk membangunkan keupayaan anti dron, jamming dron dan sebagainya. Ini kerana kita sedar bahawa dunia juga menggunakannya dan kita yakin negara-negara jiran juga menggunakan teknologi ini. Kita tidak seharusnya ketinggalan.

Operasi-operasi kita di sempadan negara juga kita sudah gunakan dron untuk pengawasan di kawasan-kawasan yang sukar untuk kita sampai kerana sempadan kita luas terutama di Sabah dan Sarawak serta sepanjang di sempadan Malaysia Thailand.

Kaedah ini juga penting supaya kita dapat mengawasi setiap inci kawasan di sempadan negara. Selain itu, dalam operasi di kawasan perairan Johor juga kita gunakan.

Buat masa ini kita tidak ada unit khas, tetapi tugas-tugas ini dikendalikan oleh anggota dari unit perisikan. Mereka yang akan kendalikan dron ini.

Untuk rancangan masa hadapan, kita dalam merangka kajian untuk menubuhkan anggota atau unit khas bagi mengendalikan dron.

Disiarkan pada: January 21, 2024 @ 7:00am
d