utama

Mamat Exists didakwa miliki, guna dadah

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Vokalis Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 2019.

Mamat bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari dan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan pertama,  pelantun lagu Untukmu Ibu itu didakwa memberi kepada diri sendiri dadah Methamphetamine kira-kira 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Utara.

Mamat juga mempunyai kesalahan berulang memberikan dadah kepada diri sendiri pada tahun 2016 dan 2018. 

Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah seksyen 39C (1) (b) akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil. Manakala Mamat diwakili peguam Azlina Abdul Aziz.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Mamat didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine dengan berat 0.17 gram pada 11.35 malam, 8 September 2019 di Taman Perling.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah seksyen 12 (3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei, dan Mamat diwakili peguam sama.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, peguam mewakili tertuduh memohon anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Fatimah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 22 Februari depan untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan.

Berita berkaitan: Mamat masuk hospital psikiatri

Disiarkan pada: January 23, 2024 @ 1:14pm
d