utama

Abang polis jadi hero sambut bayi baru lahir

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Wanita warga Thailand yang sedang sarat mengandung menempuh detik cemas apabila terpaksa melahirkan bayi di tepi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) semalam.

Bagaimanapun, bayi terbabit berjaya dilahirkan dengan selamat dengan bantuan anggota polis yang kebetulan sedang melakukan rondaan di kawasan itu.

Dalam situasi cemas itu, pegawai dan anggota peronda Lebuhraya (EMPV) terpaksa menjadi 'bidan terjun' bagi menyambut kelahiran bayi pasangan terbabit sebelum ketibaan pasukan perubatan.

Tindakan pantas anggota dan pegawai terbabit menyambut kelahiran bayi itu di tepi lebuh raya bakal jadi kenangan manis buat pasangan itu.

PDRM menerusi satu hantaran di Facebook berkata pasangan warga asing berkenaan berhenti di tepi jalan sebelum melihat kenderaan peronda polis (MPV) berkenaan dan menahannya bagi meminta bantuan.

Katanya, insiden itu berlaku semasa Inspektor Mat Fauzi, bersama Koperal Shahril dan Koperal Hariz Zulfadli sedang melakukan tugas rondaan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) semalam.

"MPV berkenaan ditahan serta dimaklumkan tentang kecemasan tersebut sebelum

bersetuju untuk mengiringi kenderaan dinaiki mereka ke hospital berhampiran

"Walau bagaimanapun dalam situasi cemas tadi, wanita terbabit selamat melahirkan bayinya di tepi lebuh raya sebelum dibantu ambulans yang tiba kemudian," katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2024 @ 12:02pm
d