utama

Kes lelaki diikat, dipukul hingga maut: 5 penghantar makanan didakwa membunuh

Oleh Suraya Roslan

Bangi: Lima penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang diikat dan dipukul sehingga videonya tular, minggu lalu.

Mereka ialah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40.

Semua lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3 Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pada 9.54 malam, 20 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sebanyak 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafiz.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 April depan untuk serahan status forensik, laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, selepas prosiding kes berkenaan, seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit "bang, kau tunggu," ke arah kesemua tertuduh.

Bagaimanapun, lelaki itu ditenangkan ahli keluarga lain sebelum diminta keluar mahkamah oleh polis.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Kejadian tragis itu berlaku selepas mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.

Selepas kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Berita berkaitan

'Tak sanggup lihat video itu, harap pelaku dihukum setimpal'

SKMM minta hentikan kongsi video kekerasan lelaki kemalangan

Lelaki mati dipukul: 2 ditahan, mangsa positif dadah

Disiarkan pada: February 27, 2024 @ 10:43am
d