utama

Wan Saiful minta maaf, Ahmad Zahid tarik balik usul gantung

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Tasek Gelugor dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini sekali lagi memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Wan Saiful berkata, semasa perbahasan titah diraja pada 28 Februari lalu, beliau mengakui ada menyebut Anwar sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.

"Saya memang ada menyebut satu perenggan yang berbunyi 'korup itu maksudnya menyalahgunakan kuasa dan orang itu yang menyalahgunakan kuasa itu akan menghadap Tuanku setiap minggu sebelum Mesyuarat Kabinet. Ayat itu memang saya tujukan kepada Tambun (Anwar).

"Sepertimana saya lakukan pada 28 (Februari) dan saya ulang sekali lagi sebenarnya dalam dewan pada 29 (Februari) apabila ditimbulkan oleh Jelutong (RSN Rayer). Saya menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

"Saya dengan rendah diri juga, disebabkan dalam usul ada menyebut mengenai Yang di-Pertuan Agong atas segala kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, saya juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya membacakan usul menggantung Wan Saiful selama enam bulan kemudiannya bangun dan menerima permohonan maaf secara terbuka itu.

"Saya mohon untuk menarik usul di nombor satu dalam urusan mesyuarat pada hari ini," katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula mengucapkan penghargaannya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul atas tindakannya yang menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin.

"Saya rasa rakyat nampak bahawa Ahli-ahli Parlimen ini adalah mereka yang bertanggungjawab demi masa depan agama, bangsa dan negara," katanya.

Johari kemudiannya memohon agar semua Ahli Parlimen bergerak ke hadapan dan membincangkan masalah rakyat dengan lebih tertib serta aman.

Disiarkan pada: March 5, 2024 @ 12:59pm
d