utama

Tolak tawaran demi kandungan

Oleh Najiy Jefri

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad terpaksa menolak tawaran program Akademi Sahur sempena Ramadan ini di Indonesia kerana enggan merisikokan kandungannya yang kini memasuki usia lapan bulan.Uyaina yang dijangka bersalin Mei ini berkata, walaupun menerima bayaran lumayan termasuk diberikan segala keistimewaan sepanjang bekerja di sana, dia tidak berani untuk mengambil sebarang risiko di kemudian hari.

"Pada mulanya memang saya nak terima tawaran itu, namun apabila memikirkan kandungan sudah memasuki usia lapan bulan dan perlu berada di Indonesia selama sebulan sepanjang Ramadan, jadi terpaksa tolak.

"Sekiranya melahirkan anak di sana (Indonesia) proses dokumentasi untuk bayi saya mungkin akan jadi sukar selain perlu tinggal lebih lama untuk berpantang. Namun, saya berat hati juga untuk lepaskan tawaran ini.

"Ini kerana saya tahu program itu memang menarik dan mengacarakan program di Indonesia memang seronok. Bayaran ditawarkan juga bagus, selain kru produksi sangat menjaga kebajikan saya dengan baik sepanjang di sana.

"Saya diberikan rumah, pemandu peribadi, juru mekap dan saya sebenarnya hanya perlu bawa diri saja di sana. Tapi selepas mengambil kira segala risiko, saya nekad untuk menolak tawaran itu beberapa hari lalu," katanya.

Bercerita mengenai pelantikannya sebagai duta Ariani untuk tahun keempat, Uyaina meluahkan rasa syukur apabila masih diberi kepercayaan oleh jenama pakaian itu.

Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Syahiran pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan anak lelaki, Raja Urhan yang kini berusia setahun.

Walaupun sarat hamil anak kedua, Uyaina masih kuat untuk menunaikan umrah bersama suami.

Uyaina yang sudah tiba di Tanah Suci sejak Rabu lalu berkata, dia sudah mendapatkan keizinan doktor bagi memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah, saya masih diberikan kekuatan untuk bekerja dan melakukan aktiviti lain. Sebelum ke Makkah, saya sudah mendapat keizinan doktor dan sentiasa berdoa agar Tuhan permudahkan segala urusan saya di sana.

"Jujurnya agak gementar juga sebab saya belum ada pengalaman menjalani umrah ketika sedang hamil, tapi saya percaya kalau niat kita baik, insya-Allah akan dipermudahkan.

"Saya berada di sana selama seminggu saja. Jadi selagi saya larat saya akan cuba melaksanakan umrah dengan semampu boleh," katanya.

Menurut Uyaina, dia sepatutnya berada di sana lebih awal, tapi disebabkan kekangan kerja dia tidak dapat terbang lebih awal bersama suaminya.

"Jika diikutkan saya akan ke Abu Dhabi bersama suami terlebih dulu sebab dia ada urusan kerja di sana.

"Tapi disebabkan saya ada komitmen kerja, saya ke Makkah seorang diri saja. Anak pula akan tinggal bersama ibu saya," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2024 @ 6:00am
d