utama

Meranti menjadi 'saksi'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sekinchan: "Perkahwinan pada usia senja bukan mencari keseronokan, sebaliknya kami mahu saling menemani di hujung usia supaya tidak rasa terlalu sunyi sementara hayat ini dan keluarga menyokong keputusan itu."

Itu reaksi Khatijah Kahar, 74, yang mendapat perhatian di TikTok selepas video pernikahannya bersama suami, Ambia Shabudin, 78, pada Sabtu lalu meraih tontonan ramai.

Khatijah berkata, dia dan suami tidak mengenali sebelum ini, namun tak menyangka perkenalan singkat ketika mengambil sayur meranti di kebun milik Ambia pada hujung Januari lalu berakhir di jenjang pelamin.

Menurutnya, segalanya bermula ketika dia yang berkawan dengan menantu perempuan Ambia bertemu semula di pasar.

Katanya, mereka sempat berbual mengenai jodoh selepas hidup sendirian sejak suami pertamanya meninggal dunia, lima tahun lalu.

"Saya secara berseloroh cakap belum jumpa jodoh dan dia beritahu bapa mentuanya juga sama. Dia kemudian tanya adakah saya sudi dipinang untuk bapanya dan saya suruh dia tanya kepada menantu saya.

"Saya juga dibawa ke kebun (Ambia) untuk mengambil sayur meranti kerana tiada orang menjualnya di pasar dan saya melihat suami buat kali pertama, tetapi kami tidak bertegur," katanya sambil memberitahu isteri pertama suami meninggal dunia empat tahun lalu.

Menurutnya, selepas dua hari, menantunya bertanya mengenai lamaran berkenaan dan dia menerimanya selepas bertemu dengan Ambia sekali lagi untuk mengenal hati budi.

Katanya, urusan merisik, meminang dan majlis pernikahan diuruskan kedua-dua keluarga yang memberi sokongan di mana perkahwinan itu menjadikan mereka kembali berteman selepas pasangan masing-masing meninggal dunia.

"Kami bukan nak cari apa, tetapi untuk peneman di hujung usia, ada kawan (untuk) bersembang, bercerita selain saya ada imam (solat) dan dijaga dengan kasih sayang (sementara anak masing-masing tinggal berasingan dengan keluarga sendiri).

"Sekarang kami boleh pergi masjid dan belajar agama sama-sama. Alhamdulillah, kami tiada penyakit serius kecuali suami hanya sakit kaki dan kurang pendengaran. Kami bahagia dan kedua-dua keluarga juga saling menerima, malah tak sangka juga kami bertemu jodoh di usia ini," katanya.

Sementara itu, cucu kelima Ambia, Siti Nurliyana A Rahim, 30, berkata majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di Pasir Panjang, di sini, pada Sabtu lalu, manakala keesokkan pula majlis bertandang di Sungai Burung, Tanjung Karang.

Dia yang juga individu berkongsi video majlis berkenaan di TikToknya mengakui keluarga gembira dapat melihat datuknya berkahwin semula.

"Di usia emas, mereka (datuk, nenek) bukan mahu yang lebih baik sebaliknya teman berbual dan saling menjaga serta menemani sehingga akhir hayat.

"Keluarga semua 'sporting'. Kami usik atuk dan nenek kerana video perkahwinan mereka tular dan mereka nampak gembira.

"Pada majlis itu cucu siapkan atuk dan nenek seperti pakaikan tudung serta menyolek, dulu tak dapat rasa seperti ini," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2024 @ 7:00am
d