utama

Isa Samad bebas tuduhan rasuah, mahkamah ketepi hukuman penjara 6 tahun

Oleh Suraya Roslan

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Mohd Isa, 75, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Vazeer Alam berkata, mahkamah mendapati keputusan hakim bicara bahawa terdapat tuntutan bayaran yang dibuat oleh perayu (Mohd Isa) melalui saksi pendakwaan (SP) ke-21 (bekas pegawai khas politik Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip) dan SP16 (bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel) membuat sembilan pembayaran melalui SP21 kepada perayu adalah bukti yang tidak boleh dipercayai.

"Keterangan menunjukkan bahawa SP16 membuat sembilan pembayaran kepada SP21 tetapi selain daripada keterangan lisan SP21 tiada bukti lain menunjukkan perayu menerima bayaran itu daripada SP21.

"Hakim bicara membuat dapatan bahawa suapan itu diberi secara rasuah oleh SP16 kerana bimbang sekiranya pembayaran tidak dibuat maka perayu boleh menjejaskan kontrak penjualan MPHS dan hasil jualan boleh dibatalkan kerana pengaruh perayu sebagai Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB). Ini jelas dapat dilihat dalam perenggan 461, 556 dan 958 pada alasan penghakiman," katanya.

Vazeer Alam berkata, panel bersetuju dengan peguam perayu bahawa jika kebimbangan terhadap pengaruh perayu sebagai Pengerusi FICSB terhadap keputusan untuk membeli MPHS maka pertuduhan akan menjadi cacat kerana tidak dinyatakan dalam mana-mana sembilan pertuduhan.

"Pihak pendakwaan membentangkan dua naratif berbeza mengenai kes mereka, di mana dalam pertuduhan dan hujahan pembukaan mereka nyatakan bahawa suapan itu adalah ganjaran untuk membantu meluluskan pembelian MPHS dan kemudian dalam perbicaraan, naratif itu ditukar kepada 'dorongan' supaya perayu tidak mengganggu kontrak pembelian MPHS.

"Persoalan kemudiannya timbul mengenai Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang digunakan oleh hakim perbicaraan dalam memutuskan sama ada kes prima facie diwujudkan terhadap perayu, adakah ia ganjaran atau dorongan.

"Pihak pendakwaan tidak boleh menukar pertuduhan secara tiba-tiba, mereka mesti mematuhi butir-butir pertuduhan yang dinyatakan, pertuduhan asal dinyatakan suapan kemudian pertuduhan pindaan ditukar sebagai ganjaran kepada perayu dalam membantu mendapatkan kelulusan pembelian itu," katanya.

Menurutnya, dalam undang-undang perayu mesti mempunyai dokumen jelas apabila dituduh kerana jika tidak dia akan diprejudis secara serius dalam pembelaannya.

"Apabila dua versi percanggahan pertuduhan, kekaburan yang timbul perlu memihak kepada perayu.

"Oleh itu, kami mendapati hakim perbicaraan terkhilaf apabila memutuskan bahawa kes prima facie diwujudkan berdasarkan keterangan SP16 bahawa kebimbangan dan ketakutannya terhadap pengaruh perayu sebagai pengerusi dalam penyiapan kontrak adalah sebab mengapa beliau memberikan suapan itu sebagai memenuhi unsur pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 apabila pertuduhan itu sendiri menetapkan bahawa suapandibayar sebagai ganjaran atas bantuannya mendapatkan kelulusan FICSB untuk pembelian MPHS.

"Oleh itu, kami mendapati secara keseluruhannya, sabitan ke atas kesemua sembilan pertuduhan adalah tidak selamat. Kami mendapati bahawa terdapat merit dalam rayuan dan wajar ada campur tangan.

"Oleh itu, rayuan terhadap sabitan dan hukuman berhubung semua pertuduhan dibenarkan dan perintah mahkamah tinggi diketepikan, perayu dibebaskan dan dilepaskan," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2024 @ 10:55am
d