utama

OPR kekal 3.00 peratus

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di negara ini itu diputuskan pada mesyuarat kedua MPC BNM bagi tahun ini yang diadakan pada 6 dan 7 Mac 2024.

BNM berkata, pada paras 3.00 peratus itu, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.

"MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Januari sehingga Mac 2023, OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Mesyuarat MPC seterusnya akan diadakan pada 8 dan 9 Mei nanti.

Disiarkan pada: March 7, 2024 @ 3:05pm
d