utama

Kos caruman KWSP penjawat awam 4.5 kali lebih rendah daripada pencen

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Kos sistem saraan penjawat awam berasaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah 4.5 kali ganda lebih rendah berbanding skim pencen sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, sekiranya sistem saraan baharu itu dilaksanakan, ia dapat memberi penjimatan dan kelegaan kepada beban fiskal kerajaan dalam tempoh jangka panjang.

"Simulasi yang digunakan dalam peringkat awal kajian sistem saraan baharu ini menunjukkan kaedah bercarum yang dicadangkan adalah 4.5 kali ganda lebih rendah berbanding kos perbelanjaan pencen sedia ada bagi setiap pegawai awam sekarang," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhlj Shaari (PN- Pasir Mas) berhubung jumlah penjimatan yang dijangka akan diperoleh oleh Kerajaan apabila skim pencen penjawat awam baru dihapuskan

Dr Zaliha berkata, kerajaan sedang mengkaji sistem saraan baharu bagi mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan baharu dalam perkhidmatan awam memandangkan bebanan tanggungan pencen makin meningkat setiap tahun.

Katanya, ia adalah bagi memastikan kerajaan dapat menguruskan perbelanjaan kewangan negara dengan lebih mampan.

"Bagaimanapun, skim pencen sedia ada untuk pegawai sedang berkhidmat dan pesara sedia ada masih berterusan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung kemungkinan berlakunya penurunan produktiviti jika penghapusan skim pencen bakal dilaksanakan, Dr Zaliha berkata, produktiviti pegawai awam tidak akan terjejas dengan pengenalan faedah persaraan baharu ini

Katanya, pegawai yang dilantik menerusi kaedah baharu kelak akan menerima gaji, elaun dan kemudahan sama seperti yang dinikmati oleh pegawai lantikan tetap dan berpencen sedia ada.

"Ini termasuk apa-apa elaun tetap seperti Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), serta elaun lain yang layak kepada skim perkhidmatan dan tugasan tertentu.

"Pada masa sama, Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang sedang dijalankan turut mengambil kira aspek keupayaan perkhidmatan awam Malaysia menarik bakat terbaik negara untuk masuk dan berkhidmat dengan Kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Menurut Ahmad Zahid, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun.

Disiarkan pada: March 8, 2024 @ 10:17am
d