utama

Aliff Aziz dan Ruhainies tak muncul di lokasi penggambaran

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur : Pasangan selebriti, Aliff Aziz dan Ruhainies tidak muncul di lokasi penggambaran drama bersiri Terjerat yang sepatutnya dijalankan di sebuah lokasi di Denai Alam, Selangor, jam 8 pagi hari ini.

Menurut sumber Harian Metro, pihak produksi hanya mengetahui ketidakhadiran mereka selepas pasangan selebriti itu gagal hadir mengikut waktu yang ditetapkan.

"Pihak produksi hanya mengetahui perkara ini selepas kedua-duanya tidak hadir ke lokasi penggambaran.

"Sehingga kini pihak produksi masih menanti kehadiran mereka untuk menjalankan baki penggambaran drama itu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, Ruhainies ada memaklumkan dia akan hadir ke lokasi penggambaran pada tengah hari, tetapi tidak ada.

"Saya diberitahu Ruhainies ada menghubungi wakil produksi memaklumkan dia berjanji untuk datang ke lokasi tengah hari, tapi sampai sekarang tiada sebarang maklum balas daripada kedua-dua pelakon itu," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penahanan pasangan pelakon selepas didakwa berkhalwat di sebuah kondominium mewah, di sini.

Disiarkan pada: March 9, 2024 @ 4:33pm
d