utama

TH terima permohonan maaf Jabidah

Oleh Wartawan Harian Metro

Kuala Lumpur: Berikutan dakwaan kehilangan wang yang memberi kesan kepada imej dan reputasi, Lembaga Tabung Haji (TH) sudah memberikan penerangan terperinci kepada pengadu berdasarkan bukti yang jelas.

Bahagian Komunikasi Korporat Lembaga Tabung Haji dalam satu kenyataan berkata, pihak pengurusan TH berjumpa dengan Datuk Jabidah Monseri di Kuching, Sarawak hari ini dan beliau melahirkan rasa kesal serta membuat permohonan maaf.

" TH menerima permohonan maaf dari beliau dan turut berterima kasih kepada Jabidah atas kerjasama baik yang diberikan.

" TH mempunyai sistem pengurusan deposit yang selamat dan teguh serta sentiasa memberi perhatian yang amat serius terhadap keselamatan dan integriti operasi," katanya dalam kenyataan itu.

Platform atas talian THiJARI juga dibangunkan dengan ciri keselamatan menepati standard dan amalan terbaik pasaran setaraf dengan aplikasi yang digunakan oleh institusi perbankan.

Untuk pertanyaan berkenaan sebarang transaksi yang mencurigakan, pendeposit boleh menghubungi Hotline Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

Terdahulu, pada Khamis lalu, Jabidah mendakwa kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun Tabung Haji miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain serta dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak 2018.

Bagaimanapun, pada hari sama dakwaan itu dikeluarkan, TH membuat siasatan dan mendapati, pemindahan wang itu adalah daripada akaun Tabung Haji pengadu kepada akaun bank miliknya sendiri.

Disiarkan pada: March 9, 2024 @ 5:07pm
d