utama

Lima kapal persiaran terbesar

Oleh Agensi

Kapal persiaran antara tarikan yang kini menjadi pilihan pelancong.

Ia menawarkan teknologi, hiburan, santapan bertaraf dunia serta tarikan dan aktiviti untuk semua peringkat umur, jadi tidak hairan harga tiketnya agak mahal.

Dianggarkan, sebuah kapal persiaran besar memiliki panjang kira-kira 110 meter (m), iaitu tiga kali lebih panjang daripada padang bola sepak.

Malah, sebahagiannya memiliki lebih 20 dek yang mempunyai kelebaran lebih 65.5 m.

Berikut adalah lima kapal persiaran terbesar dunia seperti dirangkumkan Travel US News:

   

1. Icon of the Seas

Panjang: 365m

Lebar: 65m

Berat kasar: 250,800 tan

Kapasiti maksimum penumpang: 7,600

   

Icon of the Seas adalah kapal persiaran terbesar di dunia apabila diperkenalkan pada Januari 2024.

Kapal mega kelas Icon pertama milik Royal Caribbean dan pertama daripada tiga kapal yang dikuasakan gas asli cecair (LNG). Bahan api itu dianggap alternatif lebih mampan.

Kapal itu akan mempunyai 2,805 kabin dan membawa sehingga 2,350 anak kapal.

Memiliki tujuh kolam, sembilan pusaran air dan enam gelongsor air, kapal ini turut menawarkan lebih 20 tempat makan baharu yang menawarkan masakan hidangan antarabangsa termasuk hidangan Jepun, Mexico dan Itali.   

2. Utopia of the Seas

Panjang: 362m

Lebar: 64m

Berat kasar: 236,860 tan

Kapasiti maksimum penumpang: 6,788

   

Kapal kelas Oasis berkuasa LNG pertama milik Royal Caribbean akan melakukan pelayaran sulungnya pada Julai 2024.

Kapal baharu itu akan mempunyai 2,834 kabin dan boleh menampung 2,290 anak kapal serta memiliki kemudahan padang golf mini, gelanggang sukan, dua kasino serta lima kolam renang.

Menawarkan lebih 40 pilihan tempat makan termasuk 10 tempat makan percuma berkonsepkan trak makanan.

 3. Wonder of the Seas

Panjang: 362m

Lebar: 64m

Berat kasar: 235,600 tan

Kapasiti maksimum penumpang: 7,084

Pernah menjadi kapal terbesar untuk Royal Caribbean, Wonder of the Seas pertama kali belayar pada Mac 2022.

Kapal kelas Oasis itu mempunyai 2,867 kabin dan boleh membawa 2,204 anak kapal.

Memiliki lapan kejiranan dan Aqua Theater iaitu tempat hiburan dengan platform terjunan setinggi 30 kaki dan taman tema air kanak-kanak.

4. Symphony of the Seas

Panjang: 362 m

Lebar: 66 m

Berat kasar: 228,081 tan

Kapasiti maksimum penumpang: 6,680

Symphony of the Seas milik Royal Caribbean sebuah lagi kapal kelas Oasis. Ia memulakan pelayaran pada April 2018.

Ia ada 2,759 bilik penumpang dan boleh memuatkan 2,200 anak kapal.

Terdapat empat kolam renang, kira-kira 20 restoran dan kira-kira 20 bar dan lounge, selain dua pelayan bar robotik yang menyediakan minuman di Bionic Bar.

   

5. Harmony of the Seas

Panjang: 362m

Lebar: 66m

Berat kasar: 226,963 tan

Kapasiti maksimum penumpang: 6,687

 

Satu lagi kapal kelas Oasis milik Royal Caribbean adalah Harmony of the Seas, yang berlayar sejak Mei 2016.

Kapal itu mempunyai 2,747 kabin dan menampung 2,200 anak kapal. Ia menawarkan lapan tempat makan percuma serta restoran yang menyajikan daripada burger hingga kepada hidangan Itali.

Disiarkan pada: March 10, 2024 @ 8:00am
d