utama

Ulat parkir: 'Taiko jalan' dipenjara 30 hari

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang ulat parkir yang digelar 'taiko jalan' dipenjara 30 hari serta denda oleh Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas didapati bersalah menjalankan kegiatan haram itu.

Dia bersama tujuh individu termasuk lima warga asing dituduh di mahkamah selepas ditahan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL menerusi Tindakan Khas Penjaga Parkir Tanpa Kebenaran (Ops Jaga) Khamis lalu.

DBKL dalam kenyataan berkata, operasi yang dijalankan sekitar Jalan Tun Sambathan, Jalan Sri Hartamas, Jalan Beremi, Jalan Tengkat Tong Shin, Jalan Alor dan Jalan Raja Alang dikenal pasti lokasi tumpuan aktiviti menjaga dan mengutip wang parkir di kawasan awam.

"Operasi khas dijalankan bermula jam 12.30 tengah hari hingga 9.30 malam menahan tiga lelaki warga tempatan dan lima warga asing terdiri tiga warga India serta seorang Bangladesh dan seorang warga Myanmar.

"Semua mereka yang dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi (pendakawaan mahkamah/kertas siasatan).

"Kelmarin Mahkamah Majistret DBKL menjatuhkan hukuman penjara 30 hari kepada seorang individu, empat lagi dikenakan penjara 14 hari manakala tiga yang lain didenda,"katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kegiatan ulat parkir di ibu negara seperti tiada kesudahan selepas kelibat mereka sering mengganggu pengguna jalan raya.

Ulat parkir itu dikesan mengenakan caj mencecah RM20 bagi sebuah kenderaan menyasarkan lokasi tumpuan ramai seperti kawasan beli-belah, tempat menjamu selera dan sekitar pusat hiburan.

Disiarkan pada: March 10, 2024 @ 12:45pm
d