utama

Pempengaruh tunjuk kemewahan di TikTok jadi sasaran penjenayah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Menyasarkan pempengaruh yang gemar menunjukkan kemewahan dan barangan berharga ketika bersiaran langsung di laman sosial TikTok.

Itu taktik digunakan kumpulan penjenayah yang disyaki terbabit kes pecah masuk rumah ahli perniagaan dan pempengaruh wanita sehingga kerugian RM3.5 juta di Padang Balang, Sentul, pada 4 Mac lalu.

Difahamkan, kumpulan dianggotai empat suspek terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 36 tahun itu memerhati setiap aktiviti pempengaruh di media sosial.

Seorang daripada suspek yang berperanan memerhati aktiviti mangsa akan memaklumkan kepada ahli kumpulan lain apabila mangsa tiada di rumah sebelum suspek lelaki memecah masuk rumah terbabit.

Aktiviti kumpulan itu terbongkar selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berjaya menahan keempat-empat suspek pada 6 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pada mulanya polis menerima laporan kejadian pecah masuk rumah seorang pempengaruh di Rawang, pada awal bulan ini.

"Hasil siasatan dijalankan, pasukan berjaya mengesan suspek dan menahan mereka di kawasan Johor Bahru ketika cuba menjual jongkong emas.

"Polis turut merampas pelbagai barangan berharga termasuk beg tangan berjenama yang disyaki dilarikan daripada rumah mangsa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek sama turut terbabit kes pecah masuk rumah ahli perniagaan di Padang Balang di sini, bersangkut kes Wangsa Maju.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, suspek akan diserahkan kepada Polis Daerah Wangsa Maju sebaik tamat reman untuk siasatan kes di daerah berkenaan.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki dan tiga wanita yang terbabit dalam kes pecah rumah ahli perniagaan dan pempengaruh wanita menyebabkan kerugian RM3.5 juta di Padang Balang, Sentul, ditahan polis.

Disiarkan pada: March 10, 2024 @ 4:50pm
d