utama

Bayi baru lahir ditemukan mati dalam parit

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Seri Iskandar: Bayi perempuan ditemukan sudah meninggal dunia di dalam parit berhampiran tapak pembinaan Hospital Baharu Seri Iskandar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 3.15 petang.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati bayi tanpa identiti itu dipercayai baru dilahirkan dengan tali pusatnya disyaki sudah dipotong.

"Mangsa ditemukan tanpa pakaian dalam keadaan terbaring dan tenggelam di dalam parit.

"Pemeriksaan secara fizikal dapati tiada sebarang kecederaan luar.

"Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Changkat Melintang, Bota oleh pakar perubatan forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pagi esok untuk mengenalpasti punca kematian," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294 untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: March 10, 2024 @ 10:44pm
d