utama

Apabila lampin, susu ibarat emas

Oleh Redzuan Muharam

Gaza: Keadaan di Gaza bertambah teruk dan lebih menyedihkan apabila berlaku kekurangan bekalan lampin dan susu yang menjadi keperluan asas bayi susulan peperangan serta kekejaman Zionis yang belum berakhir.

Al-Jazeera melaporkan, salah satu kisah meruntun hati adalah mengenai kesukaran Aida al-Baawi, 29, mendapatkan lampin buat bayinya yang baru dilahirkan.

Menurut Aida, usaha mendapatkan bekalan lampin menjadi cabaran buatnya dan kebanyakan ibu di Gaza kerana harga melambung tinggi untuk barangan terhad akibat kepungan yang dikenakan oleh Israel.

"Setiap hari adalah perjuangan untuk membeli lampin untuk bayi perempuan saya, terutamanya dengan anak lain yang masih memerlukannya," kata ibu kepada empat anak itu kepada Al Jazeera.

Menurut Aida, sebelum perang, harga lampin daripada AS$10 (kira-kira RM46) tetapi itu tidak lagi berlaku.

"Bayangkan kami memerlukan AS$75 (kira-kira RM348) hingga AS$ 80 (kira-kira RM371) hanya untuk lampin," katanya.

Sebagai alternatif, Aida terpaksa ke hospital berdekatan dengan harapan akan mendapat bekalan lampin.

Selain itu, Aida juga terpaksa mengeringkan lampin dipakai di bawah sinar matahari dengan harapan dapat menggunakannya semula walaupun ada implikasi kebersihan.

Ada ketikanya, wanita itu terpaksa membiarkan bayinya dengan lampin kotor sehingga mendapatkan bekalan yang baru.

Setiap sen yang dibelanjakan oleh Aida untuk lampin adalah kurang satu sen untuk keperluan lain.

"Jika lampin semahal ini, bagaimana saya boleh membeli bekalan lain? Saya dan anak-anak saya hanya makan sekali sahaja sejak petang semalam," katanya.

Bukan hanya lampin malah bekalan susu formula bayi juga jarang didapati.

Nariman Abu al-Saud melahirkan bayi perempuan pada 9 Oktober, dua hari selepas perang bermula.

"Pada harga semasa, saya tidak boleh membeli makanan untuk anak-anak saya.

"Bayi perempuan saya mendapat jangkitan kulit yang teruk kerana saya tidak boleh mendapatkan lampin.

"Susu formula pun tiada. Membekalkan susu dan lampin sudah menjadi 'neraka' bagi kami. Perang ini adalah perang terhadap anak-anak kita dan kehidupan mereka. Apa yang mereka lakukan sehingga terpaksa menanggung keadaan sedemikian?" katanya.

Kini, sebahagian besar penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan bantuan diperlukan.

Jurucakap kesihatan melaporkan 20 orang di enklaf itu telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi.

Disiarkan pada: March 11, 2024 @ 7:02am
d