utama

Umpan cashback 80 peratus

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tidak perlu bersemuka dan hanya promosi melalui media sosial sebelum mereka yang melabur mula mengajak rakan dan ahli keluarga untuk melabur dalam skim Snuppe Mall yang menjanjikan pulangan lumayan termasuk tawaran cashback sebanyak 80 peratus bagi setiap penambahan wang ke dalam akaun.

Itu tawaran 'gila' ditawarkan syarikat terbabit yang menawarkan skim cepat kaya ala Pak Man Telo yang turut menyasarkan penduduk kampung apabila mereka hanya perlu membayar serendah RM50 bagi menyertai skim pelaburan terbabit.

Malah, ada mangsa menggunakan wang simpanan, wang untuk perkahwinan, wang modal perniagaan, wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP), simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan ada yang meminjam dari ibu bapa untuk melabur.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa mereka yang baru melabur apabila seminggu selepas membuat pelaburan, syarikat terbabit mengumumkan muflis dan menutup operasi menyebabkan pelabur berasa ditipu berikutan wang pelaburan lebur.

Modus operandi skim Snuppe Mall ini mudah apabila hanya melakukan promosi melalui media sosial dan mereka yang mula-mula melabur akan mendapat pulangan dan selepas itu, pelabur terbabit kemudian mengajak rakan dan ahli keluarga kerana yakin dengan keupayaan syarikat terbabit yang menjanjikan hasil pelaburan dalam tempoh dua minggu.

Seorang mangsa yang dikenali sebagai Syawal, 40, berkata, dia sebelum itu menyedari kewujudan pelaburan Snuppe Mall melalui media sosial sebelum seorang rakan mengajaknya melabur.

Menurutnya, pada mulanya dia kurang yakin namun selepas rakannya itu memberitahu sudah menyemak syarikat terbabit dan berasakan ia tidak menipu menyebabkan dia mengeluarkan wang ASNB dan simpanan sebanyak RM15,000 untuk melabur.

"Ketika itu mereka ada buat promosi cabutan bertuah selama lapan hari kepada pelabur dan selepas itu pula menawarkan cashback sebanyak 80 peratus di mana jika kita melabur RM1,000, kita akan mendapat cashback RM800 menjadikan keseluruhan pulangan RM1,800.

"Saya awalnya sudah syak kerana cashback ditawarkan itu terlalu banyak dan sangkaan saya akhirnya betul apabila mereka mengumumkan bankrap dan wang saya lesap," katanya.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Mira berkata, syarikat terbabit menawarkan pelaburan serendah RM50 dan jika dinaik taraf ke pakej VIP, pelabur akan mendapat pulangan lebih banyak.

"Yang membuatkan orang ramai tertarik adalah promosi cashback sebanyak 80 peratus di mana wang itu dapat dibawa keluar dalam tempoh tiga hari.

"Malangnya apabila kami memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan, cashback itu tidak dapat dikeluarkan," katanya yang mengalami kerugian RM850.

Di samping itu, menurut Mira, ramai penduduk luar bandar yang menjadi mangsa di mana ada masih berharap wang mereka dikembalikan.

"Kami hanya berhubung di dalam kumpulan WhatsApp yang di dalamnya ada kira-kira 700 orang (pelabur) di Kedah.

"Ada yang bercerita mereka meminjam duit BAP anak, ada yang dihalau keluarga selepas wang dipinjam lesap dan ada juga menggunakan duit hendak berkahwin untuk melabur," katanya.

Menurutnya, dia juga difahamkan syarikat terbabit masih beroperasi namun menukar nama syarikat kerana nombor akaun yang sebelum ini digunakan masih aktif dan dipakai oleh syarikat baharu itu.

71 kertas siasatan dibuka, babit RM1.29j

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sudah membuka 71 kertas siasatan terhadap syarikat Snuppe Mall yang didakwa menipu penggunanya membabitkan kerugian mencecah RM1.29 juta.

Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Datuk Rohaimi Md Isa berkata, negeri paling tinggi kertas siasatan dibuka adalah Sabah sebanyak 17, diikuti Terengganu (9), Johor (8), Kedah (7), Kuala Lumpur (6), Pulau Pinang (5), Melaka (4), Selangor (4), Perlis (3), Perak (3), Negeri Sembilan (3), Pahang (1) dan Kelantan (1).

Menurutnya, Sabah merekodkan jumlah kerugian tertinggi berjumlah RM447,656 setakat 8 Februari lalu manakala nilai kerugian keseluruhan di seluruh negara adalah RM1,297,191.

"Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan mempromosikan platformnya bagi menjana pendapatan tambahan secara dalam talian.

"Individu yang berminat dikehendaki mendaftar dan membeli pakej ditawarkan serendah RM50 sehingga RM13,700 dan melakukan tugasan diberikan.

"Nilai komisen yang diterima adalah berbeza berdasarkan pakej disertai," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, syarikat itu dikesan menawarkan cashback sebanyak 80 peratus bagi setiap penambahan wang ke dalam akaun menyebabkan ramai pengguna tertarik dan membuat pemindahan wang.

Bagaimanapun, katanya, pada 29 Januari lalu, syarikat itu mengeluarkan notis mendakwa muflis dan menutup semua operasi mereka.

Menurut Rohaimi, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 12, 2024 @ 12:01pm
d