utama

3 warga asing Geng Centro ditembak mati

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Tiga penjenayah warga asing dikenali Geng Centro kecundang selepas berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata tiga penjenayah yang ditembak mati itu masing-masing dua warga Vietnam dan seorang warga Bangladesh berumur antara 34 dan 44 tahun.

Katanya, terdahulu polis pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Pahang mengesan sebuah Proton Waja yang mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan pada jam 11.30 malam.

"Polis menghampiri dan memperkenalkan diri bagi tujuan pemeriksaan tetapi suspek bertindak memecut kenderaan.

"Setibanya di tempat kejadian, kereta suspek menghimpit dan melanggar belakang kenderaan polis menyebabkan kenderaan itu berhenti.

"Ketika hendak melakukan pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan bagi mempertahankan diri, polis membalas tembakan sehingga tiga penjenayah di dalam kereta tumpas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Yahaya berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol Glock 17 berserta enam peluru di dalam kelopak dan sebutir di dalam 'chamber' serta tiga kelongsong peluru.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan peralatan lain iaitu dua mesin pencanai, dua mesin penebuk, dua bilah parang, dua set nombor pendaftaran, satu kuku kambing dan tukul besi.

"Dengan tumpasnya Geng Centro ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas iaitu masing-masing tiga kes di Perak dan satu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang dipercayai dilakukan penjenayah sejak Jun 2023.

"Siasatan juga mendapati suspek warga Bangladesh memiliki lesen memandu yang sah dan dipercayai sudah lama menetap di Malaysia," katanya.

Menurutnya, kereta digunakan juga milik suspek warga Bangladesh manakala dua lagi suspek warga Vietnam pula sering keluar masuk ke negara ini.

"Kita percaya geng ini tidak hanya membabitkan tiga suspek ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Modus operandi yang dilakukan penjenayah ini ialah dengan menyerang dan menyamun mangsa menggunakan kekerasan.

"Selain itu suspek juga memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang serta menebuk peti besi menggunakan mesin pencanai sebelum melarikan barang kemas dengan jumlah keseluruhan kerugian melebihi RM4 juta," katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2024 @ 12:09pm
d