utama

Mahu fokus pada lakonan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KONTROVERSI membabitkan The Gadys baru-baru ini secara tidak langsung terkena tempiasnya pada model dan pelakon, Nelissa Nizam.

Tidak ramai tahu Nelissa atau nama sebenarnya Nelissa Edreena Nizam, 26, sudah 'berpisah' dengan trio wanita berkenaan.

Nelissa berkata, keputusan dibuat bukan kerana mereka berkrisis, sebaliknya kerana dia mahu fokus pada lakonan.

"Mereka pun faham, ketika itu saya ada tiga filem 'back to back', itu yang saya keluar. Kasihan pada mereka kalau saya dalam kumpulan itu sebab mereka kena ikut jadual saya.

"Jadi saya putuskan untuk undur diri dan saya akui pilihan itu agak susah juga. Alhamdulillah... mereka sangat faham sebab kami naik sama-sama, mula dari bawah sama-sama.

"Saya dengan mereka tidak pernah masalah sebab mereka kawan yang baik. Saya doakan agar The Gadys sukses dalam karier nyanyian mereka," katanya.

Pelakon yang baharu dinobatkan sebagai Artis Bintang Harapan Telenovela pada Anugerah Telenovela kali ke-9 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia kini fokus sepenuhnya pada lakonan dan perniagaan sendiri.

"Syukur... saya baru habis jalani penggambaran dengan Dr Ahmad Idham. Ada tiga filem bersama dia antaranya Sahak Gangster dan Saka Perawan yang dijangka akan ditayangkan tahun ini juga.

"Ramai yang tanya kenapa saya jarang muncul di televisyen tahun lalu. Inilah sebabnya kerana saya betul-betul buat persediaan berlakon filem. Agak seronok bekerja dengan pasukan terbabit kerana kerja dengan mereka sangat pantas.

"Filem Sahak Gangster genre aksi komedi, manakala Saka Perawan seram komedi. Saya akui ia sangat kelakar. Saya suka skrip filem-filem ini. Dr Ahmad Idham buat komedi cara sitkom yang orang suka," katanya.

Menurutnya, dia kini kerap berlakon dengan Ahmad Idham dan gembira kerana sudah lama menyimpan hasrat untuk berlakon di bawah arahan pengarah hebat itu.

"Tahun lepas juga saya banyak 'shooting' drama dan antara yang akan keluar TV ialah Anak Ex-Stray. Pengurus saya kata, dia nampak bakat saya lebih kepada lakonan dan fokus ke situ sahaja. Dia carikan mana peluang yang ada untuk saya.

"Secara keseluruhannya, pengalaman saya dah sembilan tahun dalam industri. Saya mula pada usia 18 tahun. Saya bermula betul-betul dari bawah. Dari kosong akhirnya mampu bergelar heroin.

"Sewaktu bermula, dah tentu banyak yang saya kena 'improve' (perbaiki). Saya sentiasa kena perbaiki kualiti lakonan sehingga betul-betul diterima. Alhamdulillah... kerja pun tak pernah putus sekarang," katanya.

Bagi Nelissa, dia bersyukur dapat membantu perbelanjaan keluarganya sekarang.

"Saya tak kejar nama atau kejar siapa yang paling hangat atau gempak dalam industri. Saya lebih pentingkan kekalkan nama dalam industri. Alhamdulillah... saya dapat bertahan sejauh ini.

"Harapnya banyak lagi rezeki saya yang akan datang nanti. Diakui saya pernah kena campak skrip dengan pengarah dan macam-macam lagi. Tapi itulah pengalaman yang mendewasakan saya hari ini.

"Sekarang saya teringin bawa watak aksi, berlawan tapi belum dapat. Mungkin saya kena berlatih lagi kerana ia perlu stamina yang tinggi. Mana tahu selepas ini boleh jadi seperti Michelle Yeoh," katanya.

Menurutnya, dia kerap ditawarkan watak remaja yang nakal-nakal mungkin kerana umurnya.

Disiarkan pada: March 13, 2024 @ 6:00am
d