utama

Ibu didakwa beri susu dibancuh dadah tukar pengakuan

Oleh Suraya Roslan

Petaling Jaya: Seorang ibu yang mengaku menganiaya anak lelakinya berusia 16 bulan dengan memberi susu dibancuh dadah menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, suri rumah berusia 34 tahun mengubah pengakuan berkenaan ketika sebutan semula kes di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor yang mana ketika prosiding dua minggu lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk fakta kes dan jatuh hukum bagi wanita itu.

Suami wanita itu berusia 40 tahun kekal dengan pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan semula hari ini.

Mengikut pertuduhan kedua-duanya bersama-sama didapati melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka berusia setahun empat bulan dengan memberi susu bercampur dengan air yang mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine (syabu) sehingga menyebabkan bayi itu mengalami "alleged sympathomimetic drug ingestion."

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pangsapuri di Taman Medan, di sini, 6 petang 19 Februari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin kemudian memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi sebutan semula kes dan laporan perubatan penuh.

Semasa prosiding, peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili tertuduh wanita dan peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh lelaki tidak membantah berhubung tarikh baharu bagi sebutan semula kes.

Hakim Noor Ruzilawati kemudian menetapkan 10 Mei ini bagi sebutan semula kes kedua-dua tertuduh selain status laporan perubatan pada tarikh yang sama.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang bayi lelaki dikejarkan ke hospital selepas ibunya tersilap membancuh susu bayi menggunakan cecair syabu dalam kejadian di Taman Medan di sini.

Siasatan awal mendapati pada hari kejadian bayi yang berusia satu tahun empat bulan ketika itu berada di bawah jagaan neneknya yang berusia 55 tahun di Seri Kembangan.

Disiarkan pada: March 13, 2024 @ 11:07am
d