utama

Harga naik 20 peratus

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Harga makanan di bazar Ramadan seluruh negara secara umumnya meningkat antara 10 hingga 20 peratus berikutan peniaga mendakwa perlu menampung peningkatan kos bahan mentah.

Walaupun berdepan peningkatan kos, peniaga berusaha mengekalkan harga sama atau menaikkannya sedikit bagi mengelak kerugian, malah ada yang memohon maaf kepada pelanggan kerana terpaksa berbuat demikian.

Rata-rata peniaga di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menyatakan mereka terpaksa menaikkan harga makanan dijual disebabkan kos bahan mentah.

Tinjauan Harian Metro mendapati harga terkini satu set popia ialah RM8 berbanding RM7 bagi tahun lalu.

Roti John pula dijual RM9 berbanding RM8 tahun sebelumnya.

Pada masa sama, murtabak pula dijual pada harga RM7 berbanding RM5 pada 2023.

Peniaga popia, Umar Ardensa, 29, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan RM1 tahun ini disebabkan kenaikan harga bahan mentah.

"Kenaikan harga bahan mentah menyebabkan kami terpaksa menaikkan harga popia tahun ini," katanya.

Bagi peniaga Roti John, Asmah Jamilus, 43, dia terpaksa menaikkan harga kerana semua bahan untuk menghasilkan makanan itu mengalami kenaikan.

"Sos cili, roti serta daging semuanya naik harga.

"Pemakluman berkaitan kenaikan harga ini juga sudah kita maklumkan kepada pelanggan semasa kami berniaga sebelum ini," katanya.

Peniaga murtabak, Suhaimi Ahmad, 54, pula mengatakan, dia terpaksa menaikkan harga daripada RM5 kepada RM7 disebabkan harga bawang yang mahal di pasaran.

"Bawang mahal sangat sehingga RM7 sekilogram. Inilah kesulitan peniaga, khususnya yang berniaga berasaskan bawang.

"Tahun lalu, kita berdepan masalah telur, tahun ini kita hadapi masalah bawang pula.

"Kita juga sudah maklumkan kepada pelanggan. Jadi bergantung kepada mereka untuk menerima kenaikan harga dengan hati terbuka.

"Kami peniaga tiada pilihan. Barang semua mahal. Mohon maaf kepada semua pelanggan," katanya.

Sementara itu, peniaga kuih di bazar Kampung Baru, Syafiq Farul Azman, 26, berkata, dia menjual sebekas kuih talam dengan lima potongan pada harga RM4.

"Ini bermakna, sepotong kuih harganya 80 sen. Ia kenaikan 10 sen berbanding tahun lalu," katanya ditemui.

Jamilah Muhamad, 55, pula memaklumkan, dia terpaksa menaikkan harga kuih dalam paket tahun ini sebanyak 50 sen.

"Ia membabitkan kuih seperti akok, roti jala dan tako. Saya naikkan harga kerana pembekal menaikkan harga bahan mentah seperti keledek," katanya.

Bagi peniaga air balang, Mardiana Ahmad Tarmizi, 28, dia masih mengekalkan harga minuman dijual walaupun ada kenaikan harga gula.

"Satu cawan besar dan plastik masing-masing kami jual RM5. Tidak ada kenaikan, harga sama seperti tahun lalu.

"Walaupun pelanggan minta air lebih, harga tetap sama," katanya.

Di Negeri Sembilan, harga makanan di bazar Ramadan di Seremban dan Nilai didapati menunjukkan kenaikan tidak ketara terutama membabitkan lauk pauk.

Peniaga lauk pauk, Akmal Harith Amir Shukri Amir, 24, berkata, dia cuba meletakkan harga seminimum mungkin selagi ada keuntungan dijana.

"Dua minggu lalu, harga daging naik RM2 sekilogram, saya tidak tahu puncanya. Kerana itu, harga harga sup daging contohnya, dinaikkan daripada RM7 kepada RM8.

"Bagi ayam pula, kami ikut harga semasa namun cuba mengekalkan harga sama seperti tahun lalu. Bagaimanapun, kami perlu lihat juga, kami perlu dapatkan untung juga walau sedikit," katanya.

Pelanggan, Rosmaliza Mohamed Ramli, 30, berkata, walaupun kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak membabitkan makanan, namun ia tetap memberi kesan secara tidak langsung.

"Saya dapati harga lauk pauk naik antara RM1 ke RM2. Jika beli tiga ke empat lauk, sudah cecah lebih RM20 dan saiz hidangan juga makin kecil," katanya.

Di bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, ada makanan merekodkan kenaikan antara RM1 ke RM2.

Ia seperti lemak dan daging bakar yang masing-masing naik daripada RM8 kepada RM9 selain gulai kawah daripada RM10 kepada RM12.

Pada masa sama, kuih jala mas sebelum ini berharga RM5 bagi enam biji, namun kini ia dijual pada harga RM1 sebiji.

Kuih piana sebelum ini dijual RM2 untuk tiga biji namun kini, harganya RM1 sebiji.

Kuih tahi itik pula RM2 untuk tiga biji dan kini, harganya RM1 sebiji.

Berita berkaitan:

Pembeli mula terkesan

Kenaikan harga makanan hingga RM2

Disiarkan pada: March 13, 2024 @ 12:01pm
d