utama

Ali Baba kembali

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Letak nama sebagai pembantu jualan menjadi taktik pemilik tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, untuk mengelak pihak berkuasa mengesan tapak itu sudah diali baba.

Taktik itu didedahkan kepada Harian Metro oleh individu yang dipercayai menjadi broker bagi pihak pemilik tapak untuk mendapatkan peniaga yang berminat untuk berniaga di situ.

Menurutnya, memang menjadi taktiknya untuk meletak nama pihak kedua yang 'membeli' bazar sebagai pembantu jualan.

"Tiap-tiap tahun kita buat macam ni (letak nama) pembantu jualan," katanya.

Individu terbabit menawar dan mempromosikan tapak bazar khususnya di Lorong TAR kepada yang berminat.

Selain itu, tapak bazar berkenaan ditawarkan dengan sewa sehingga RM10,000 turut dipromosi individu tertentu melalui media sosial di kumpulan tertutup bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Ada antara mereka juga menawarkan pelan tapak strategi khusus buat peniaga yang gagal mendapat tapak ketika permohonan dilakukan.

Seorang individu ketika dihubungi wartawan menerusi peti mesej media sosial berkenaan bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat dan lokasi tapak untuk disewa.

"Maaf tuan, kalau tengok sini tuan baru join (sertai) group (kumpulan) ini, jika tuan betul-betul berminat boleh jumpa saya di lorong (TAR) saya tidak boleh dedahkan di sini.

"Dekat sini ramai yang joy (suka-suka) selepas diberi jawapan mereka berdiam diri, ada juga yang mengambil tangkap layar dan membuat aduan kepada pihak berwajib, sebab itu kalau betul berminat boleh jumpa saya terus," katanya.

Menurutnya, harga tapak adalah bergantung kepada lokasi dan dia menjanjikan harga lebih rendah berbanding tahun lalu.

"Sekarang tak boleh letak harga tinggi, bukan semua yang boleh meniaga ada yang tak balik modal jika letak harga yang tinggi.

"Jangan risau nama tuan akan kami letak sebagai pembantu jualan, perkara ini tiap-tiap tahun kami buat," katanya.

Sementara itu, peniaga yang enggan dikenali berkata, tapak bazar Aidilfitri di Lorong TAR kebiasaannya akan mula dipenuhi peniaga pada minggu kedua Ramadan.

"Memang pada awal Ramadan kumpulan ini giat mempromosikan tapak untuk diniagakan dengan harga yang tinggi," katanya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa untuk memberikan tapak bazar kepada peniaga yang layak serta mampu daripada segi kewangan.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Presiden Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, isu penjualan tapak kepada pihak ketiga bukan isu yang baru.

"Malam tadi (kelmarin) saya diberitahu masih ada individu yang menjual tapak terutama di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), perkara ini tiap-tiap tahun berlaku kalau di sini, memang sukar untuk dikawal.

"Pihak persatuan juga ada mencadangkan kepada DBKL supaya memberikan tapak kepada peniaga yang sudah biasa dengan barang dagangan mereka serta mampu dari segi kewangan," katanya.

Katanya, pihaknya mengesan ada peniaga sebelum ini menjual barangan basah, namun mendapat tapak di Lorong TAR.

Rosli berkata, penyewaan tapak kepada pihak ketiga boleh menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda berdasarkan kepada strategiknya kawasan perniagaan itu.

"Satu tapak kalau mengikut bayaran lesen dengan berdeposit hanya sekitar RM3,000," katanya.

Bagi membanteras kegiatan ini, Rosli yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia menggesa agar PBT bertegas seperti merampas tapak yang didapati dijual kepada pihak ketiga.

Disiarkan pada: March 14, 2024 @ 12:01pm
d