utama

'Tak suka tak apa, jangan menyakiti haiwan'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Seremban: "Saya menangis melihat kekejaman manusia yang sanggup memperlakukan kucing seperti itu, malah hati tidak tenang selagi tidak dapat membantu haiwan berkenaan serta turut berniat akan memberinya forever home (rumah kekal)," kata Noor Akmarina Mohd Zaki.

Noor Akmarina, 37, mendapat perhatian di TikTok selepas dia berkongsi kisah membantu kucing jalanan yang diberi nama Sarah yang diperlakukan dengan kejam apabila kaki hadapan dan belakang diikat selain leher juga diikat serta ditambat di tiang garaj di sebuah kawasan perumahan di Kuala Pilah.

Menurutnya yang menetap di Bandar Seri Sendayan, di sini, dia menyedari hantaran seorang wanita di Facebook (FB) mengenai kucing berkenaan pada 5 Mac lalu sebelum terus menghantar mesej untuk bertanyakan keadaan haiwan itu.

"Kakak itu sudah membantu melepaskan tali pada kucing itu dan saya minta bantuan dia mencarinya sebelum haiwan itu ditemui pada hari ketiga. Kakak itu kemudian beritahu saya dan keesokan iaitu pada Sabtu lalu saya pergi mengambilnya.

"Perjalanan lebih sejam dari rumah ke Kuala Pilah membuat saya tak sabar untuk segera sampai di rumah kakak itu dan apabila bertemu saya terus menangis kerana kucing itu juga buta pada mata kirinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia mengambil kucing yang dinamakan Sarah bersama suami, Mohd Fadhir Mohd Arip, 35, sekali gus menjadikan kucing berkenaan sebagai kucing jalanan ke-34 yang diselamatkan dan dijaga di rumahnya sejak 2017.

"Sarah pada mulanya nampak agak takut mungkin trauma dengan kejadian yang berlaku padanya. Alhamdulillah tiada kecederaan pada Sarah dan ia nampak gembira di rumah baru.

Individu bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu mendakwa Sarah menganggu cucu dan suka masuk rumahnya.

"Saya tak habis fikir mengapa dia yang Allah SWT berikan akal fikiran sanggup melakukan perkara itu kerana Sarah hanya seekor kucing yang akal fikirannya tidak seperti manusia. Kalau tak suka sekalipun janganlah sampai bertindak kejam.

"Manusia dan haiwan adalah makhluk Allah yang hidup di dunia ini dengan meminjam oksigen Allah jadi jangan rasa kita saja layak hidup di dunia ini kerana kucing juga ada hak sama. Tak suka tak apa tetapi jangan menyakiti haiwan," katanya.

Pekerja swasta itu berkata, hatinya mudah terusik apabila melihat kucing dan anjing yang teraniaya, malah mengakui dia sanggup mengeluarkan peruntukan untuk membina rumah kucing di rumahnya demi keselesaan haiwan peliharaan.

"Saya mula menjaga Sapiko iaitu anak kucing yang datang ke rumah di Shah Alam dan sejak itu kucing mula bertambah tetapi semuanya kucing jalanan. Saya dan suami kemudian berpindah ke rumah sendiri di Bandar Seri Sendayan dan kami peruntukkan sedikit wang untuk membina rumah kucing.

"Tetapi lapan kucing tinggal bersama di dalam rumah kerana memerlukan perhatian khas dan Sarah juga akan bersama saya dalam rumah kerana keadaan matanya yang buta itu.

Saya juga anggap semua kucing peliharaan seperti keluarga.

"Walaupun perkahwinan kami belum dikurniakan rezeki anak tetapi saya tidak pernah terfikir menjaga kucing ini sebagai penganti atau peneman sebaliknya kerana sayangkan mereka dengan ikhlas, malah kalau ada anak nanti kasih sayang itu tetap tidak berubah," katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2024 @ 8:56pm
d