utama

Suri hati sehabis baik

Oleh Norhayati Nordin

BELAJAR dari pengalaman, diakui fasa lebih mematangkan pasangan berkahwin dalam melalui liku-liku kehidupan bersama. Pasang surut dalam perhubungan itu adalah perkara lumrah yang perlu sedia ditempuhi.

Bagi penyanyi, Datin Alyah, kehidupan rumah tangganya bersama suami yang juga maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS atau Tok Ram kini disifatkan dalam situasi menenangkan kerana masing-masing melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan berkata, dalam kehidupan ini tiada yang sempurna. Hanya diri kita yang tahu apa perlu dibuat untuk memastikan hubungan dalam rumah tangga dapat dieratkan.

"Saya percaya tiada seorang manusia yang sempurna walaupun dia seorang isteri. Saya berusaha melakukan sehabis baik sebagai isteri Tok Ram. Apa yang kurang saya cuba perbaiki, namun selebihnya tawakal kepada Allah saja.

"Malah, sekiranya ada perubahan sikap yang berlaku antara kami, ia membabitkan berdua. Bukan dia (Ramli) seorang saja atau saya saja, tapi kita berdua sebab belajar daripada pengalaman," katanya

Menurut wanita berusia 43 tahun ini, dia mahu berkongsi kepada semua orang bahawa jika berlaku sesuatu perkara dalam kehidupan, itu bukan sesuatu yang buruk sebenarnya, tapi lebih kepada proses pembelajaran.

"Itu pun kalau orang berkenaan menganggapnya perkara yang positif. Begitu juga dengan apa yang anda semua pernah tahu mengenai perjalanan karier seni saya, kisah rumah tangga saya dan itu yang membuatkan kami suami isteri berada di tahap ini.

"Sekarang kami lebih rileks, lebih matang dan lebih gembira sebagaimana yang dilihat," katanya mengakui dalam perkahwinan memang tak boleh lari daripada masalah, namun bergantung kepada cara untuk menangani.

Menurut penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang dan Jutaan Purnama ini, walau dalam apa keadaan masalah dialami pun 'kunci' penyelesaian adalah banyakkan berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah.

Ditemui pada majlis pelancaran produk Twomee yang melantiknya sebagai duta baru-baru ini, Alyah berkata, dia bertekad mahu membantu mereka yang memerlukan di sekelilingnya.

"Saya ingin membantu ramai yang ada di sekeliling saya sebab tahu pelbagai ujian dialami mereka. Cuma rezeki saya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu sampai sekarang, masih mendapat pelbagai tawaran.

"Umpama di kala ramai orang lelah menghadapi ujian kehilangan sumber pendapatan, tapi saya terus diberikan rezeki oleh Allah. Jadi, saya berhasrat ingin bantu mereka disekeliling itu mendapatkan sesuatu yang baik juga," katanya.

Satu program TV dengan suami

Sudah sedekad hidup bersama, namun jarang melihat kelibat Alyah dan Ramli bersama dalam satu program hiburan di televisyen. Kalau ada pun, ia boleh dikira beberapa saja.

Mengulasnya, Alyah mengakui dia okay dan terbuka sekiranya ada produksi TV mahu menggandingkannya dan suami dalam satu program, tetapi tidak sebagai isteri semata-mata.

"Saya penyanyi dan selebriti, jadi kalau mengundang saya dalam program yang ada suami, tidak boleh sebagai isteri saja sebab saya pun ada 'value' sendiri.

"Sepatutnya tawaran itu datang atas nama saya juga, Alyah. Jadi, tak apa sekiranya hanya suami saya yang muncul dalam program hiburan itu sendirian kerana bayaran pun atas nama dan kepakarannya.

"Apa pun, saya akui ada diundang ke beberapa program hiburan sebelum ini sebagai isteri Tok Ram. Bagaimanapun, karier saya tetap penyanyi dan itu sewajarnya diambil kira juga," katanya.

Mengenai Ramadan ini, Alyah berkata, dia dan Ramli akan melakukan aktiviti beribadah seperti biasa dengan bersolat Tarawih di masjid berdekatan rumah mereka seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Bagi hidangan berbuka pula, saya serahkan pada suami kerana dia pakar memasak. Kalau nak makan kari ke, kurma atau nasi beriani, memang Tok Ram yang masak, manakala hidangan 'simple' macam nasi goreng dan mi goreng, baru saya yang masak," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2024 @ 6:20am
d