utama

'Pakatan terpuji' hantar mak ayah ke Tanah Suci

Oleh Redzuan Muharam

Kota Samarahan: Keinginan menggembirakan insan tercinta mendorong Muhammad Qayyum As-Siddiq Jawi menghadiahkan pakej umrah kepada ibu, Hamidah Nen, 49, dan bapanya, Jawi Meludin, 55.

Menurut Muhammad Qayyum As-Siddiq, 19, pakej umrah itu dibeli hasil wang dikumpul bersama empat adik-beradiknya.

Muhammad Qayyum berkata, ibu bapanya tidak tahu menahu berkaitan hadiah itu kerana dia memberi kejutan berkenaan pada saat akhir iaitu seminggu sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci Makkah, 9 Mac lalu.

"Sudah lama saya simpan niat nak hantar mereka ke Tanah Suci Makkah. Alhamdulillah, ia akhirnya dapat direalisasikan.

"Itu pun selepas berbincang dengan adik-beradik lain yang bersetuju untuk hadiahkan pakej umrah kepada mereka.

"Kami ambil masa empat bulan untuk kumpul duit sebelum beri kejutan ini," katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Qayyum As-Siddiq, ibunya ada memberi bayangan dan meluahkan hasrat untuk ke Tanah Suci Makkah.

"Emak tak cakap terus terang tapi ada beritahu yang dia rindu nak ke Tanah Suci Makkah kerana kali terakhir dia pergi ialah kira-kira 20 tahun lalu.

"Waktu diberi kejutan tempoh hari, emak terkejut sampai menangis kerana terharu, bapa juga nampak gembira cuma tidak menunjukkan perasaannya," katanya yang juga anak bongsu daripada lima beradik dan kini menuntut dalam pengajian Diploma Pengurusan Halal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan, di sini.

Sebagai anak, Muhammad Qayyum As-Siddiq mengakui gembira kerana impian untuk menunaikan hajat kedua-dua ibu bapanya tercapai.

"Saya tahu hadiah ini tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan emak dan bapa, namun bersyukur kerana dapat beri kegembiraan kepada mereka," katanya.

Pada masa sama, menurutnya, ibu bapanya juga memberi peluang kepada mereka untuk berdoa di depan Kaabah menerusi panggilan video.

Berhubung perkongsiannya di TikTok yang mendapat perhatian ramai, Muhammad Qayyum As-Siddiq berkata, niatnya berkongsi video di TikTok adalah untuk dijadikan kenangan dan memberi inspirasi kepada mereka yang menonton, terutama anak muda, supaya menghargai ibu bapa selagi masih ada.

"Ia kerana saya nampak ada segelintir yang suka habiskan duit jadi bagi saya, lebih baik disimpan untuk bahagiakan ibu bapa," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2024 @ 7:01am
d