utama

Pelakon Squid Game dipenjara 8 bulan, bersalah laku serangan seksual

Oleh AFP

Seoul: Pelakon 'Squid Game' O Yeong-su didapati bersalah atas salah laku seksual oleh Mahkamah di Korea Selatan, kerana menyerang seorang wanita pada 2017.

Lelaki berusia 79 tahun itu pada 2022 menjadi warga Korea Selatan pertama yang memenangi Anugerah Golden Globe untuk pelakon pembantu terbaik dalam satu siri untuk persembahannya sebagai lelaki tua dalam filem thriller dystopian Netflix yang mega-hit.

Pelakon itu dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan, digantung selama dua tahun, kata Mahkamah Daerah Suwon Cawangan Seongnam kepada AFP.

Dia juga telah diperintahkan untuk menyelesaikan 40 jam kelas mengenai keganasan seksual.

Rekod mangsa mengenai serangan dan dakwaannya adalah konsisten... dan nampaknya adalah kenyataan yang tidak boleh dibuat tanpa benar-benar mengalaminya," kata Hakim Jeong Yeon-ju.

O didakwa pada 2022 tanpa ditahan atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita sebanyak dua kali.

Insiden itu berlaku ketika O tinggal di kawasan luar bandar untuk persembahan teater pada 2017, masing-masing di laluan berjalan kaki dan di hadapan kediaman mangsa, menurut Mahkamah Daerah Suwon.

'Squid Game' satu siri yang menggambarkan dunia gelap di mana individu terpaksa bersaing dalam versi maut permainan kanak-kanak tradisional, dengan cepat mendapat populariti di Netflix.

Dalam masa kurang daripada empat minggu dari tayangannya pada 2021, ia menarik 111 juta penonton.

Kejayaan rancangan itu menguatkan pengaruh Korea Selatan yang semakin besar terhadap budaya popular global, berikutan kemasyhuran global yang dimenangi oleh kumpulan K-pop BTS dan filem pemenang Oscar Parasite.

Beberapa tokoh dalam industri filem Korea Selatan - termasuk mendiang pembikin filem Kim Ki-duk dan pelakon Cho Jae-hyun - menghadapi dakwaan serangan seksual.

Disiarkan pada: March 15, 2024 @ 3:51pm
d