utama

Stoking kalimah Allah diimport dari China

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Stoking kalimah Allah dijual di KK Mart yang tular di media sosial, baru-baru ini diimport dari China.

Pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat selaku pembekal stoking berkenaan berkata, pihaknya diberi peluang oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai untuk menyewa ruang bagi menjual produk mereka.

"Saya ada hasilkan stoking sendiri dan ada juga diimport dari beberapa negara luar. Bagi stoking ini (yang ada kalimah Allah), saya dapat daripada guni dari China.

"Dalam guni itu yang tiba di kilang kami di Batu Pahat, Johor pada tahun lalu, terdapat 1,200 pasang stoking yang bercampur dengan pelbagai rekaan dan warna.

"Pekerja kami kemudian menghantar sendiri stoking-stoking berkenaan ke premis KK Mart bermula 29 Januari lalu. Atas kesilapan pekerja kami yang tidak melakukan pemeriksaan teliti menyebabkan stoking berkenaan dijual di KK Mart," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara KK, Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini.

Sebaik dimaklumkan oleh pihak KK Mart mengenai perkara itu, beliau terus menghubungi pengeluar stoking terbabit.

"Pengeluar mendakwa mereka tidak tahu bagaimana stoking itu boleh ada di dalam guni berkenaan dan mengakui ia berpunca akibat kesilapan pekerja mereka.

"Sehingga ke hari ini, kami sudah membuat pemeriksaan di semua KK Mart dan memastikan tiada lagi stoking terbabit dijual," katanya.

Beliau yang menjalankan perniagaan itu sejak 25 tahun lalu turut memohon maaf atas penjualan stoking kalimah Allah terbabit.

"Selaku pemilik syarikat yang membekalkan stoking itu kepada KK Mart, saya mohon maaf atas apa yang berlaku.

"Apa yang berlaku ini membuka mata supaya lebih berhati-hati dalam proses membawa masuk produk dari luar negara dan kami akan belajar daripada kesilapan ini," katanya.

Chin Huat menyifatkan KK Mart adalah mangsa keadaan dalam insiden itu dan berharap masyarakat khususnya beragama Islam boleh memaafkan mereka.

Sementara itu, Penasihat Perhubungan Korporat KK Mart, Haika Daniel berkata, kenyataan segelintir pihak yang mendakwa penjualan stoking itu disengajakan oleh syarikat adalah tidak benar sama sekali.

"Kita tahu kalimah Allah dekat di hati masyarakat Islam di negara ini. Justeru, kita tekankan yang kenyataan mendakwa syarikat sengaja mewujudkan isu ini adalah pandangan tidak tepat sama sekali.

"Sebagai syarikat yang sudah 23 tahun berada di pasaran, kita tidak akan berbuat demikian. Ia adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan bukannya perancangan," katanya.

Mengulas mengenai isu boikot, beliau merayu supaya tindakan itu dihentikan kerana ia juga berkait dengan nasib kira-kira 5,000 pekerja di syarikat berkenaan yang mana 60 peratus daripadanya adalah beragama Islam.

Katanya, KK Mart penyedia perkhidmatan 24 kepada penduduk dan turut melaksana program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan berpendapatan rendah termasuk yang beragama Islam sepanjang tempoh 23 tahun beroperasi.

Disiarkan pada: March 16, 2024 @ 2:09pm
d