utama

Labur RM6,500 demi 200km/j

Oleh Mahaizura Abd Malik dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Sungai Buloh: Minat dan mahu menambah kelajuan terhadap motosikal antara sebab penunggang jentera dua roda itu melakukan pengubahsuaian walaupun menyedari melakukan kesalahan.

Pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Syed, 21, berkata dia sanggup menghabiskan kira-kira RM6,500 bagi melakukan pengubahsuaian terhadap motosikal Yamaha 135LC dimilikinya.

"Motosikal ini saya beli pada 2021. Saya melakukan ubah suai enjin, swing arm, ekzos dan menukar tayarnya.

"Keseluruhan ubah suai berjumlah RM6,500 dan paling mahal enjin yang menelan belanja kira-kira RM5,000," katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, selepas pengubahsuaian dilakukan, kelajuan motosikal yang sebelum ini mencapai 130 kilometer sejam (km/j), boleh mencecah sehingga 200km/j.

"Saya lakukan ubah suai motosikal ini disebabkan minat dan nak bagi laju. Disebabkan ubah suai juga, motosikal ini pernah sekali disita polis di Ampang," katanya yang mengambil masa sebulan untuk melakukan ubah suai motosikal.

Pemuda lain yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 22, turut menyatakan dia melakukan ubah suai motosikal Yamaha Y15ZR atas faktor minat, mahu lebih laju dan mencantikkan kenderaan yang dibelinya pada 2021.

"Saya membelanjakan kira-kira RM8,000 bagi ubah suai enjin, menukar kepada tayar sotong, sport rim, ekzos dan swing arm motosikal Y15ZR.

"Kalau daripada segi kelajuan, sebelum ubah suai, motosikal ini hanya mencapai 138 km/j sahaja, tetapi apabila sudah ubah suai, ia boleh mencapai sehingga 198 km/j," katanya dia mengimpikan menyertai pameran motosikal.

Katanya, selepas mengubah suai enjin, aksesori lain juga perlu ditukar seperti ekzos.

"Kalau enjin dah buat, ia tak boleh pakai ekzos standard. Dia kena ikut spesifikasi motosikal.

"Sebenarnya saya pun tak minat motosikal bunyi bising tapi disebabkan sudah ubah suai, ekzos pun kena tukar," katanya.

Gian cantikkan motor

Disiarkan pada: March 17, 2024 @ 12:30pm
d