utama

Kemuncak kekejaman!

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Itu tindakan terbaru rejim Zionis apabila mensasarkan serangan udara terhadap kem Al-Nuseirat yang menempatkan beratus tan bantuan sumbangan Malaysia terhadap penduduk Palestin di Gaza pada Khamis.

Serangan roket berkenaan turut membunuh sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin termasuk sukarelawan.

Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, sasaran serangan itu terhadap pusat pengagihan bantuan milik Kelab Belia dan Sukan Gaza.

Menurutnya, pusat itu juga digunakan untuk simpanan bekalan dan bantuan makanan bagi disalurkan kepada penduduk Gaza yang kini berdepan krisis kebuluran dahsyat.

"Tindakan tentera rejim Zionis itu memperlihatkan kezaliman yang melampau.

"Kami (Sekretariat Induk Ops Ihsan) mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu di saat rakyat Palestin sedang berusaha untuk mendapatkan keperluan makanan demi kelangsungan hidup.

"Rakyat Palestin khususnya di Gaza ketika ini sedang berdepan dengan krisis kekurangan makanan dan tindakan mereka (rejim Zionis) mensasarkan serangan ke arah pusat pengagihan makanan adalah di luar batas kemanusiaan," katanya yang dimaklumkan perkembangan insiden itu oleh pegawai kesihatan di Palestin.

Jismi berkata, serangan itu berlaku ketika sukarelawan sedang melakukan persiapan untuk melakukan pengagihan barangan keperluan untuk penduduk di kem berkenaan.

Beliau berkata, sejak tercetusnya perang pada 7 Oktober lalu, pihak sekretariat sudah menghantar 33,000 kotak dengan jumlah berat 400 tan bernilai kira-kira RM4 juta.

"Pusat pengagihan itu (di Kem Nuseirat) antara lokasi kita tempatkan barangan keperluan dan makanan. Bagaimanapun kita tidak letak semua di satu tempat.

"Kita agihkan di pelbagai lokasi. Contohnya di Kem Nuseirat, sebanyak 3,000 kotak bantuan diletakkan," katanya.

Menurutnya, tindakan terbaharu tentera rejim Zionis terbabit diharap mendapat kecaman komuniti antarabangsa kerana menyasarkan kem menempatkan rakyat Gaza serta pusat pengagihan makanan.

Terdahulu, sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin dilaporkan syahid akibat serangan tentera Israel dari udara ketika mereka menunggu bantuan makanan Ops Ihsan di kem Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.

Malaysia menghantar 100 tan bantuan makanan melalui Ops Ihsan dan 100 tan lagi dilaporkan akan memasuki wilayah yang ditawan Israel itu melalui sempadan Mesir bulan ini.

Media antarabangsa semalam turut melaporkan sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin terbunuh ketika menunggu bantuan kemanusiaan dalam dua serangan berasingan Israel di Semenanjung Gaza semalam.

Disiarkan pada: March 17, 2024 @ 1:00pm
d