utama

Rai hero 'masih hijau'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

KEHADIRAN bakat baharu dalam industri seni tanah air terutama dalam bidang lakonan sentiasa menambah pilihan bakat, sekali gus menambah warna.

Lambakan

bakat baharu dalam kalangan pelakon ini tentunya memberi impak bukan saja kepada industri, tetapi juga kepada deretan pelakon yang memanjat carta senior.

Bagi Syafiq Kyle, kehadiran mereka dilihat sebagai satu perkembangan positif dan perlu diraikan.

"Masing-masing ada pandangan masing-masing. Kalau dari sudut tergugat, ada baik dan tidak baik. Tapi, siapa saya nak beri pendapat mengenai ini sebab saya belum cukup masak dalam industri ini.

"Saya pernah jadi baru dan berada di situ. Pernah disebut dan tidak disebut. Pengalaman itu banyak mengajar saya. Saya rasa, pelakon lain pun alami pengalaman sama.

"Pada awalnya, kita mahukan benda itu (mencipta nama), tapi bila dah nampak jalan, saya mula nampak apa yang lebih penting. Lebih penting maksudnya untuk diri saya, keluarga dan penonton yang menonton saya," katanya.

Menurut Syafiq, dengan hadirnya pelakon baharu, ini mungkin menutup isu dan permasalahan berkaitan wajah hero atau heroin yang sentiasa berulang.

"Mungkin dengan kehadiran ramai bakat baharu berikan lebih banyak pilihan di samping semakin banyak platform tayangan yang ada.

"Tidak lagi ada isu hero yang sama, hero yang tua, hero yang tak relevan atau heroin yang membosankan untuk ditonton dan sebagainya sebab kita ada banyak platform.

"Jadi, masing-masing ada peluang pilih cabang seni apa yang mereka nak cuba dan berikan. Saya rasa 'benda' itu perlu lebih menarik untuk kita raikan dalam industri," katanya.

Menurut Syafiq lagi, sebagai pelakon senior, menjadi tugasnya dan rakan-rakan seperjuangan membantu menunjukkan arah kepada pendatang baharu ini.

"Ramai selebriti hari ini yang kita tak kenal siapa mereka. Tapi, tugas kita meraikan. Bukan mengatakan mereka tak layak, tapi kita perlu tunjukkan kepada mereka cara untuk bawa diri atau buat pilihan yang tepat.

"Kita pun bukan terlalu bagus untuk kita katakan kita buat benda betul saja. Tapi, kita lebih banyak berkongsi. Zaman sekarang berbeza berbanding dengan saya dulu.

"Saya hargai bakat baharu yang ada, bukan saja yang di depan kamera, tapi ramai juga yang di belakang kamera. Kita punya kru, pembikin filem, semuanya muda-muda. Kita raikan hasil kerja mereka," katanya.

Terbaharu, Syafiq kini membintangi drama bersiri berjudul Terlanjur Cinta yang ditayangkan di platform penstriman digital, Viu.

"Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Amir. Boleh dikatakan ada ramai pelakon

'A-List'. Dari segi lakonan, masing-masing dah faham skrip sebab cerita ini pun pendek saja.

"Cabarannya adalah kepada Erma Fatima untuk kumpulkan semua pelakon ini. Di set, kami lebih kepada terhibur untuk melihat persembahan masing-masing terutama Syafie Naswip.

"Pelakon dalam drama ini kebanyakannya sudah matang dalam lakonan. Ketika Erma tawarkan kepada saya untuk pegang watak Amir, mungkin dia perlukan pengalaman saya dalam cerita ini.

"Saya ada di sesuatu tempat dan detik penting sahaja dan bukan keseluruhan kerana ramai pelakon utama. Watak saya sendiri, saya lebih banyak belajar dari sudut pengurusan. Ia satu drama yang bagus untuk ditonton dalam bulan Ramadan," katanya.

Kali pertama bergandingan dan bekerjasama dengan pelakon remaja berbakat besar, Puteri Balqis, Syafiq menggambarkan Balqis sebagai pelakon yang cukup matang.

"Saya tak pernah bekerjasama dengan Aqish. Dia pelakon berdisiplin dan sentiasa bersiap sedia dengan apa yang dia perlu buat. Untuk keserasian, jarak umur kami mungkin agak jauh.

"Jadi, saya rasa dari sudut minor sahaja seperti pergerakan dan sebagainya. Yang lain, saya rasa semuanya okay dan pantas. Pengarah, Izuan Mokhtar pun pandai bermain dengan garapan.

"Saya rasa, Aqish lebih faham apa yang dia nak bawa dan dia akan berjumpa semua pelakon dalam drama ini. Jadi, saya ikuti arusnya.

"Bagus sebab dalam usia muda, dia dah dapat hadam watak itu. Dia mudah menyerap perkara seni ini. Kami sebagai orang di sekeliling dia sentiasa menyokong," katanya.

Selain itu, Syafiq juga semakin serius dengan perniagaan kecil-kecilan menjual brownies yang pada awalnya bermula sebagai suka-suka.

"Alhamdulillah, penduduk Lembah Klang berikan sokongan penuh. Ia resipi dari YouTube dan saya cuba hasilkan sendiri.

"Saya rasa bila saya jual brownies, ia membuatkan saya lebih dekat dengan orang ramai. Saya dapat tahu apa mereka suka, apa mereka tengok pada saya.

"Bila berniaga, hubungan itu berbeza dengan kehidupan sebagai pelakon. Saya kena berdepan mereka," katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2024 @ 6:00am
d