utama

'Mudik Ramadan' haram pak Surya

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Mohd Haris Fadli

Kuala Lumpur: Tekong darat kini dikesan aktif mengiklankan perkhidmatan membawa keluar pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama kepada warga Indonesia menerusi beberapa platform media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Promosi Mudik Ramadan itu ditawarkan kepada individu yang tidak memiliki dokumen sah berada di negara ini dan akan dibawa keluar melalui jalan laut dengan menaiki feri atau bot laju.

Difahamkan, sindiket itu menawarkan harga bermula RM1,300 sehingga RM1,800 bergantung kepada lokasi pendaratan mereka.

Promosi berani mati itu juga dianggap seolah-olah mencabar pihak berkuasa negara ini kerana sindiket terbabit turut memaparkan nombor telefon untuk tempahan.

Wartawan yang menghubungi nombor telefon dipaparkan menerusi video promosi itu dimaklumkan beberapa 'trip' bermula sebelum Ramadan lagi.

Individu yang dikenali sebagai Pak Surya itu juga memberi jaminan akan mendarat dengan selamat di kawasan yang dikehendaki.

"Pak mau ke mana? Jalur belakang emang itu harganya (Tuan mahu ke mana? Guna laluan tikus memang itu harganya).

"Mau ke Dumai biaya RM1,500, naik sekitar Klang-Kuala Selangor, dijamin sampai dan gak perlu lalu lumpur (Perjalanan ke Dumai harga RM1,500 dan dijamin sampai ke destinasi tanpa turun di kawasan lumpur)," katanya.

Wartawan turut menghubungi seorang lagi tekong berasal dari Indonesia dikenali sebagai Jhon Aceh yang mempromosikan kegiatan berkenaan di Tiktok.

"Bapak ini TKI atau apa? Biayai berbeda-beda tertakluk di lokasi, kami boleh hantar (Tuan pekerja Indonesia di Malaysia? Harga adalah berbeza mengikut lokasi) di Aceh, Medan, Pekan Baru, Riau, Lampung, Banten, Maluku, Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Bali dan Jambi.

"Jika serius, bapak boleh hubungi nomor ini untuk pendahuluan dan kita akan maklum lokasi transit sebelum bergerak (Jika mahu, boleh hubungi nombor yang akan diberikan untuk urusan wang pendahuluan termasuk lokasi transit)," katanya.

Menurutnya, pelanggan juga diwajibkan untuk membuat panggilan video kepada penyedia servis terlebih dahulu sebelum bayaran dilakukan bagi mengelak perkara tidak diingini.

"Sekarang banyak operasi, perlu lebih berhati-hati, ramai mau (mahu) pulang tapi takut untuk lalu jalur belakang (laluan tikus)," katanya.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai warga asing yang tertarik dengan promosi ditawarkan sindiket berkenaan.

Bagaimanapun, ada juga antara mereka yang mendakwa perkhidmatan ditawarkan itu adalah 'scam' (penipuan) oleh sindiket.

"Selepas bayar pendahuluan, mereka diam dan bayaran juga hangus," tulis seorang pengguna Tiktok di ruangan komen.

'Nak beraya di lokap, cubalah...'

Kuala Lumpur: Warga asing yang bercadang pulang ke kampung halaman sempena Ramadan menggunakan laluan tikus berisiko 'beraya' di lokap.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh berkata, cara lebih baik adalah dengan menyertai Program Repatriasi Migran (RM) dengan warga asing terbabit akan dikecualikan daripada tindakan pendakwaan di mahkamah.

Menurutnya, bagi mengelakkan kesesakan, warga asing terbabit perlu membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir ke pejabat Imigresen bersama tiket pulang serta wang kompaun RM500 bagi yang tiada dokumen atau 'kosong' dan tinggal lebih masa manakala RM300 bagi kesalahan salah guna pas.

"Majoriti yang berdaftar adalah warga Indonesia, antara faktornya adalah disebabkan sambutan Ramadan dan ingin pulang beraya di kampung halaman," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu sehingga 9 Mac lalu, seramai 1,864 pendatang asing tanpa izin (Pati) sudah pulang ke kampung halaman masing-masing dengan jumlah kutipan kompaun mencecah RM2.89 juta.

Katanya, dalam kalangan warga asing yang berdaftar dengan program itu, kesalahan tertinggi dicatatkan membabitkan tinggal lebih masa seramai 3,623 orang selain tiada dokumen perjalanan seramai 2,131 orang.

"Mengikut proses, Pati terbabit datang ke pejabat untuk dokumentasi, ambil cap jari, imbas muka dan apabila sudah diluluskan, mereka perlu bayar kompaun mengikut kategori kesalahan.

"Mereka kena tunjuk tiket pulang yang sah dalam tempoh 14 hari dari tarikh pendaftaran program sebagai bukti dia mahu pulang.

"JIM akan keluarkan memo tunjuk surat dan kita akan lepaskan mereka untuk pulang tanpa didakwa di mahkamah dan ditawarkan bayaran kompaun sahaja," katanya.

Ruslin berkata, kebiasaannya Pati yang didapati melakukan kesalahan berkenaan akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara, namun kerajaan sebelum ini bersetuju memberi pengecualian menerusi program itu.

Katanya, Pati diberi masa sehingga 31 Disember ini bagi mengambil peluang pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program RM sebelum tindakan tegas diambil.

"Ambil kesempatan ini untuk pulang ke kampung dan tidak berdepan pendakwaan yang membabitkan hukuman penjara. Menerusi kemudahan ini, mereka hanya perlu bayar kompaun.

"Jangan buat pada saat akhir dan pendaftaran boleh dibuat di 14 cawangan JIM di seluruh negara termasuk Labuan kecuali Sabah dan Sarawak.

"Pati jangan ambil risiko guna laluan tikus kerana boleh ditahan dan tidak dilepaskan (untuk pulang)," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2024 @ 12:00pm
d