utama

Tak main redah saja

Oleh Najiy Jefri

Siapa sangka, di sebalik wajahnya yang jelita, pelakon Ahirine Ahirudin cukup meminati sukan lasak seperti Muay Thai dan aktiviti permotoran.

Enggan menjadikan sukan lasak itu sebagai hobi semata-mata, Ahirine kini semakin serius dalam menyiapkan diri untuk menyertai pertandingan Muay Thai secara profesional.

Mengakui aktiviti permotoran yang disertai sebelum ini terdedah dengan pelbagai risiko yang berbahaya apabila pernah mengalami kecederaan di bahagian dadanya, justeru membuatkan wanita tinggi lampai ini nekad mencabar diri dalam sukan seni bela diri terbabit.

"Saya bakal menyertai kejohanan Muay Thai pada Mei depan. Jadi, sekarang saya mempersiapkan diri dan sibuk menjalani latihan sepanjang Ramadan ini.

"Saya simpan impian untuk menyertai perlawanan di Thailand, tapi jurulatih minta saya sertai sekurang-kurangnya 10 perlawanan di tanah air terlebih dahulu sebelum terbang ke sana.

"Lagipun nak bertarung dengan pemain dari negara seberang memerlukan persiapan rapi. Saya tak boleh nak main redah saja, saya perlu mempunyai ilmu dan stamina yang kuat," katanya.

Biarpun perwatakannya kelihatan sedikit kasar apabila gemar melakukan aktiviti lasak, namun Ahirine mengakui dirinya seorang yang lembut.

"Aktiviti sukan yang saya ceburi membuatkan saya nampak lasak, padahal personaliti saya sangat lembut.

"Dulu saya tidak berkesempatan nak lakukan aktiviti lasak selepas tamat sekolah menengah, jadi saya nak cuba realisasikan segala aktiviti yang saya minat ini," katanya.

Beralih mengenai kehidupan peribadi, wanita berusia 28 tahun itu mengakui hatinya belum dimiliki.

Kata Ahirine, fokus utamanya kini memastikan perjalanan karier seni sebagai pelakon terus konsisten dan dikenali ramai.

"Saya belum temui cinta sejati lagi. Buat masa ini biar saya fokus dengan kerjaya dulu.

"Saya juga tumpukan perhatian dengan sesi latihan untuk pertandingan Muay Thai. Kalau ada kekasih nanti tak boleh nak fokus pada hubungan," katanya.

Tambah Ahirine, sekiranya ada insan bertuah yang benar-benar ingin mendekatinya, dia nekad meminta jejaka itu bertemu bapanya terlebih dahulu.

"Kali ini saya malas nak melalui proses suai kenal dalam tempoh panjang. Kalau betul dia serius nakkan saya, dia perlu bertemu ayah saya dulu.

"Saya sudah penat dengan perhubungan yang asyik tak jadi. Bertahun-tahun saya melayari fasa percintaan, kemudian akhirnya tak jadi. Jadi, lebih baik dia jumpa ayah saya," katanya.

Menyentuh mengenai perjalanan kariernya sebagai pelakon, Ahirine berkata, dia masih menanti peluang untuk berlakon drama televisyen.

Biarpun memulakan langkah dalam bidang lakonan menerusi layar lebar, dia optimis untuk mencabar diri membintangi drama TV.

"Saya sentiasa menunggu peluang berlakon drama. Saya nak sangat ada tawaran daripada stesen TV supaya saya boleh menjadi pelakon lebih baik.

"Saya nak asah bakat saya dengan membintangi drama tempatan. Sekurang-kurangnya kehadiran saya itu lebih dikenali ramai, sekali gus mempelajari ilmu baharu.

"Saya akui perjalanan saya ini masih baharu dan banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2024 @ 7:00am
d