utama

Baru 10 bulan berkahwin, wanita reda diuji kanser rahim

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Johor Bahru: Wanita ini baru 10 bulan melayari bahtera perkahwinan bersama suami namun impiannya memiliki anak sendiri tidak kesampaian apabila diuji dengan penyakit kanser serviks tahap 1B2 dan terpaksa membuang rahimnya.

Bagaimanapun Nor Fatihah Mohd Halim, 35, tidak pernah menyalahkan takdir, malah dia menganggap ujian diberikan Allah SWT itu menjadikannya lebih bersyukur nikmat-Nya selain terus positif meneruskan kehidupan sebagai wanita.

Menurutnya, dia tidak pernah menyangka akan diuji dengan penyakit itu kerana sebelum ini keadaan kesihatannya baik, malah mengakui dia tidak mengalami simptom kanser selain kitaran haidnya tidak lancar sejak September lalu.

"Bermula penghujung November lalu saya kitaran haid saya berpanjangan dan kalau tiada darah, keputihan yang serius akan keluar sehingga saya membuat pemeriksaan di beberapa klinik sebelum dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Selepas melalui beberapa ujian hasilnya membuatkan saya sedih namun sebenarnya saya sudah bersedia kerana melalui reaksi doktor di klinik sudah dapat mengagak ia adalah kanser tetapi perasaan sedih dan takut tetap ada," katanya.

Wanita menetap di Kampung Melayu Majidee itu berkata, dia didiagnosis kanser serviks tahap 1B2 dan sel kansernya juga agresif pada 26 Februari lalu dan disaran membuang rahim untuk mengelakkan sel kanser merebak dan semakin serius.

Katanya, dia selamat menjalani pembedahan itu dua minggu lalu, kini dalam proses untuk sembuh dan mengakui suami,

Saufi Chik, 37, sentiasa memberi sokongan selain keluarga dan juga keluarga mentua untuknya sentiasa positif.

"Siapa yang tak sedih kerana impian setiap wanita bergelar isteri mahu melahirkan zuriat untuk suami, malah saya juga menunggu anak sendiri selepas perkahwinan pertama selama 14 tahun juga tiada rezeki zuriat.

"Selain itu saya juga bimbang jika suami masih kekal bersama saya yang kini sudah mempunyai kekurangan sebagai wanita, namun saya bersyukur dia menerima ujian ini bersama saya.

"Suami sentiasa beri sokongan kerana baginya 'kehilangan' sesuatu yang belum ada (peluang punya anak) tidak sesakit kehilangan apa yang sudah dimilik (dirinya sebagai isteri)," katanya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Menurut Nor Fatihah, kehilangan organ kewanitaannya itu bukan penyebab untuk dirinya terus bersedih dan mengakui setiap yang berlaku mempunyai hikmah-Nya selain takdir itu membolehkannya berkongsi lebih rezeki bersama keluarga.

"Saya sekarang masih menjalani pemeriksaan secara berkala selepas pembedahan dan berkemungkinan bulan depan saya akan memulakan rawatan kemoterapi.

"Saya mahu menjalani kehidupan yang positif dan gembira, malah perkongsian di TikTok mengenai kisah ini sebenarnya untuk menyimpan kenangan malam terakhir organ itu bersama saya dan tak sangka ia mendapat perhatian.

"Suami kemudian menyarankan supaya saya terus berkongsi mengenai kanser serviks termasuk mengenai rawatan dan kos kerana penyakit itu sukar dikesan pada peringkat awal. Saya juga mahu kaum wanita peka dan tidak takut menjalani ujian pap smear," katanya.

Terdahulu, Nor Fatihah membuat beberapa perkongsian video kesedaran kanser serviks termasuk terpaksa membuang rahim dalam tempoh kurang sebulan selepas didiagnosis penyakit itu yang meraih perhatian netizen di TikTok, baru-baru ini.

Disiarkan pada: March 20, 2024 @ 10:28pm
d