utama

Lagu 'cinta' sarah meledak

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KETIKA rakan seangkatan seorang demi seorang berkahwin, Sarah Suhairi, 23, masih sendirian tanpa pasangan hidup.

Sarah juga juara program Big Stage 2018 mengakui tumpang gembira dan bahagia melihat beberapa rakan artis yang berumah tangga pada usia muda.

Baginya itu rezeki dan ketentuan Allah. Namun dia pula belum terfikir mahu melangkah ke fasa perkahwinan lagi.

"Saya sebenarnya belum berpunya dan kekal solo serta hanya mampu berdoa yang terbaik. Bohong jika dikatakan saya tak nak ada pasangan hidup.

"Justeru saya mohon kepada Allah supaya dikurniakan jodoh yang baik dan boleh membimbing saya di dunia dan akhirat.

"Perkahwinan bukan perkara main-main dan setiap pasangan yang berkahwin mahu kekal hidup bersama sehingga akhir hayat. Apa pun saya harap akan bertemu lelaki impian saya," katanya.

Sarah yang sebelum ini popular dengan lagu Nyawa & Raga kini kembali menjadi sebutan peminat apabila single terbaharunya berjudul SAH (Setia Akhir Hayat) berduet dengan Alfie Zumi semakin mendapat tempat di hati pendengar.

"Alhamdulillah... selepas lagu SAH dikeluarkan pada 22 Januari lalu, sambutannya amat menggalakkan apabila muzik videonya sudah pun mencecah lapan juta tontonan di YouTube Rusa Music.

"Ia mendapat tempat di hati peminat bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia kerana SAH versi 'remix' dikeluarkan di platform digital platform.

"TikTok adalah platform yang membuka ruang untuk saya dan Alfie mempromosikan lagu ini dan ramai yang menggunakan bunyi SAH di TikTok sehingga mendapat perhatian dari negara jiran," katanya yang amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan kepada lagu ini.

Dia yang sudah tujuh tahun bergelar artis Rusa Music turut mengakui selesa bersama syarikat terbabit.

"Ketika zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya masih aktif mengeluarkan single yang menjadi beberapa runut bunyi untuk drama.

"Selepas itu, saya hanya melancarkan satu single dalam setahun yang bertajuk Burn dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, tapi tidak terlalu aktif seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Genre lagu ini agak lain dari kebiasaan, tetapi saya bersyukur kerana dapat pendengar yang berbeza kerana versi Inggeris yang dikeluarkan," katanya.

Selain nyanyian, Sarah kini juga menceburi bidang perniagaan iaitu produk penjagaan badan jenama Wild Rymba.

"Saya percaya pada rezeki yang diberi. Setiap karya yang saya keluarkan adalah atas dasar minat kepada bidang seni muzik.

"Dalam masa sama, saya bereksperimentasi terhadap lagu yang dapat menarik peminat untuk terus mendengar pada masa yang akan datang.

"Selain Alfie, saya juga ada perancangan untuk berduet dengan beberapa lagi artis. Namun saya belum sedia menguar-uarkannya kerana ia masih dalam perancangan," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2024 @ 6:00am
d