utama

Puasa pertama 4 hari

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kali pertama menjalani ibadat puasa bagi kebanyakan saudara baharu atau mualaf pastinya mencabar.

Cabaran dilalui dalam menunaikan Rukun Islam ketiga itu pastinya memberi kenangan yang tidak dapat dilupakan selepas secara rasmi memeluk Islam.

Berkongsi pengalaman, Lee Rick Kee, 27, mengakui sejak di bangku sekolah, dia sudah mula cuba berpuasa kerana kebanyakan rakannya berbangsa Melayu.

"Saya bersekolah di St John's Institution Kuala Lumpur dan sebelum peluk Islam lagi saya suka cuba berpuasa mengikut kawan dan pada masa sama, untuk jimatkan wang saku.

"Paling lama saya puasa dalam tiga ke empat hari, kawan tak pernah paksa dan itu memang keinginan saya untuk berpuasa. Pengalaman tak pernah saya lupakan ialah ketika di tingkatan tiga apabila kawan saya ajak pulang ke kampungnya di Perak.

"Itulah pertama kali saya rasa puasa serta beraya dan paling seronok, setiap bulan puasa akan ada Bazar Ramadan," katanya yang memeluk Islam ketika berusia 22 tahun.

Bapa kepada dua anak itu sangat memandang tinggi mereka yang mampu berpuasa penuh dan tidak menyangka dia berjaya menjalani ibadat itu dengan sempurna berkat sokongan rakan dan keluarga.

"Puasa banyak mengajar saya erti sabar dan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, niat kena betul dan paling penting, ia mendisiplinkan kita.

"Puasa tahun ini berbeza bagi saya kerana sekarang harus ulang-alik bekerja ke Singapura dan ia mencabar, namun apabila sibuk, tak rasa masa berlalu.

"Harapan saya ialah supaya dapat berpuasa penuh selain belajar lebih banyak berkaitan agama. Sepanjang Ramadan ini, saya sertai kumpulan mualaf belajar mendalami al-Quran," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Menurutnya, dia kini aktif berkongsi pengalaman sebagai mualaf dan berkaitan Islam di media sosial, terutama kepada bukan Islam yang sering bertanya cara memeluk Islam dan bagaimana untuk meyakinkan keluarga untuk menerimanya.

Sementara itu, bagi Charrissa atau nama Islamnya Nur Aisyah Arrissa Surendra Jay, 25, berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, ini kali kedua dia merasai pengalaman berpuasa.

"Saya berdarah kacukan dan Alhamdulillah, saya diberi hidayah dan memeluk Islam pada 3 Jun 2022.

"Tahun lalu saya berpuasa buat kali pertama. Pada mulanya, saya sangat risau tidak boleh berpuasa kerana gastrik namun syukur kerana dapat melaluinya.

"Allah SWT hadirkan kawan yang sangat baik untuk saya dan sering mengajak saya berbuka puasa di rumahnya," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Berkaitan bagaimana dia memeluk Islam, Nur Aisyah berkata, pada 2022, ketika dia melayari TikTok, dia menonton video bagaimana seorang perempuan memeluk Islam.

"Ketika itu, mengalir air mata saya sebelum saya terus menghubungi pejabat agama bertanya berkaitan proses menukar agama.

"Alhamdulillah, semuanya saya uruskan sendiri sehinggalah hari saya memeluk Islam," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2024 @ 7:00am
d