utama

Cinta lebih manis selepas 'jatuh kasih' kali kedua

Oleh Suliati Asri dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Bercinta dan 'jatuh kasih' buat kali kedua bersama pasangan sama selepas melalui fasa penceraian dianggap perkara hampir mustahil boleh berlaku.

Menjadi kebiasaan pasangan yang sah bercerai akan membawa haluan masing-masing selepas cinta terlerai.

Namun tiga wanita bahagia ini membuktikan berkongsi hidup buat kali kedua memberikan 'nikmat' kasih dan tautan cinta yang lebih mendalam buat suami yang pernah melukakan hati mereka.

Bahkan alasan untuk kembali bersama bekas suami bukan hanya untuk kepentingan anak semata-mata, namun perasaan cinta itu kembali berputik sama seperti fasa mereka jatuh cinta pandang pertama.

Selepas melalui episod gagal dalam perkahwinan dibina, wanita ini tidak pernah terfikir akan kembali melayari bahtera perkahwinan buat kali kedua bersama lelaki yang pernah meninggalkannya.

Apatah lagi selepas masing-masing membawa haluan dan berpisah bagi tempoh tujuh tahun.

Bahkan mereka yang berkahwin pada 2003 dan kemudian berpisah selepas lapan tahun membina rumah tangga, melalui tempoh percintaan hampir empat tahun selepas bercerai, sebelum memeterai ikatan perkahwinan yang sah pada 2018.

Zurani Zakaria, 44, dan Raimie Abd Rahim, 42, yang menetap di Kapar, di sini, kini bahagia menjalani kehidupan bersama selepas bernikah semula sejak hampir enam tahun lalu.

Zurani berkata, dia dan suami berkahwin buat kali pertama pada usia muda dan perpisahan mereka selepas lapan tahun bersama disebabkan pelbagai faktor.

"Penceraian ketika itu dilakukan dengan cara baik tanpa bermusuh, malah hubungan juga masih baik," katanya.

Menurutnya, mereka juga cuba membuka hati kepada orang lain dan mempunyai perancangan untuk berkahwin dengan pasangan masing-masing selepas beberapa tahun berpisah.

"Perkahwinan kami sebelum ini tidak dikurniakan zuriat dan kami tetap berkawan biarpun sudah berpisah, malah kadang kala ada juga berhubung. Ketika kami menguruskan penceraian di mahkamah dahulu, memang ada juga terfikir, jika ada jodoh semula nanti, pasti kami akan bersatu semula.

"Tetapi sejujurnya saya tidak terfikir langsung bahawa kami akan kembali bersatu. Kuasa Allah SWT mengubah segala-galanya apabila suami menunjukkan kesungguhannya untuk kembali bersama," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, suami yang bekerja sebagai pemandu lori berubah menjadi seorang lelaki yang lebih matang dan memahami kemahuannya selepas perpisahan berlaku antara mereka.

"Faktor perubahan sikapnya membuka pintu hati saya untuk menerimanya buat kali kedua.

"Bekas suami berusaha menawan hati saya seperti zaman bercinta dahulu dan perasaan sayang yang sudah 'mati' itu kembali berputik dengan sendirinya.

"Kami 'berkawan' hampir empat tahun sebelum saya betul-betul memutuskan menerimanya semula sebagai suami kali ke dua," katanya.

Menurutnya, keluarga turut menyokong keputusan mereka untuk kembali bersatu.

"Saya masih ingat pesanan ibu supaya memilih orang yang benar-benar menyayangi kita. Sepanjang hampir empat tahun 'berkawan', saya lihat banyak perubahan pada dirinya," katanya.

Katanya, percintaan kali kedua ini lebih manis dan 'segar' biarpun ia dilakukan dengan orang sama.

"Hati saya benar-benar ikhlas menerimanya dan yakin dia akan menjadi suami yang terbaik.

"Ketika cinta kali pertama, mungkin saya agak gopoh apabila mengambil masa singkat untuk mendirikan rumah tangga.

"Kami berkenalan pada bulan September dan berkahwin pada bulan Disember tahun sama. Percintaan kali kedua ini memang terasa lain mungkin kerana kami sudah melalui perpisahan dan kian matang.

"Perpisahan tujuh tahun memang banyak mengajar kami soal hati, ikhlas, lebih bertanggungjawab dan saling memahami untuk menjalani kehidupan bersama. Paling penting ia mengajar kami untuk lebih menghargai pasangan. Alhamdulillah, perkahwinan kedua sudah masuk tahun keenam dan saya berharap hubungan ini akan terus kekal sehingga ke syurga. Biarlah sampai akhir hayat kami dengan orang sama dan bersyukur kasih sayang masih 'segar'," katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2024 @ 12:01pm
d