utama

'Kakak minta tolong, abang ipar digilis lori' - Adik

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Kakak menghubungi saya minta bantuan selepas mereka tiga beranak terbabit dalam kemalangan sambil beritahu suaminya 'hancur', tak boleh angkat dah.

"Saya ingatkan mereka kemalangan biasa dan tak faham apa dia sebut rupanya abang ipar meninggal dunia dan digilis lori depan mata kakak," kata Alia Nadia Mohd Radzif, 29.

Alia Nadia adalah adik kepada Alis Natiesha, 30, yang terbabit dalam kemalangan selepas skuter dinaiki bersama suami dan anak lelaki mereka berusia empat tahun dilanggar lori di Kilometer 16.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Napoh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 malam, suami wanita itu, Mohd Azrie Faiz Abdullah, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Manakala Alis Natiesha yang hamil enam bulan cedera di kaki kanan dan kandungannya dilaporkan selamat, manakala anaknya Putera Yusuf Matin luka di kepala, luka di jari tangan dan kiri serta luka di kaki kanan.

Menurut Alia Nadia, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Guar Chempedak selepas berbuka puasa di rumah adik ketiga, Mohd Raffiel, 26, di Changlun.

Katanya, dia yang turut berbuka puasa bersama hanya mengetahui kejadian selepas dihubungi kakaknya memaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan.

"Kami pun dalam perjalanan pulang ke Jitra ketika itu dan hanya kira-kira 10 minit bergerak untuk pulang, saya terima panggilan menyebabkan saya terkejut.

"Keadaan jalan ketika itu sesak dengan kenderaan dan sebaik tiba di lokasi, saya dapati keadaan abang ipar sangat menyedihkan.

"Kakak beritahu arwah suaminya sempat menolak anak mereka ke kiri jalan sebelum dia jatuh dan digilis kenderaan itu. Jika tidak, mungkin anak mereka pun jadi mangsa, " katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.

Menurut Alia Nadia, arwah abang iparnya bekerja di sebuah warung kopi kampung di Hutan Kampung, di sini, sejak setahun lalu sering berulang alik ke Alor Setar dari Guar Chempedak setiap hari.

Katanya, arwah sebelum ini seorang yang ceria dan banyak bercakap, tetapi lebih mendiamkan diri dan menyendiri selepas berbuka puasa malam semalam.

"Arwah juga pernah beritahu mungkin dia tak beli baju raya tahun ini, (dan) mungkin itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Sambutan Aidilfitri tahun ini pun tidak bermakna buat kami selepas kehilangan arwah abang ipar kerana dia anak yatim piatu dan tak sangka kejadian ini berlaku padanya," katanya.

Menurut Alia Nadia, sebelum itu, mereka sekeluarga menghalang kakak dan abang iparnya pulang kerana sudah lewat malam sambil meminta mereka bermalam di rumah keluarga di Jitra.

Katanya, namun arwah hendak pulang juga ke Guar Chempedak dengan alasan dia bekerja, hari ini.

"Kakak yang tunggang motosikal kerana perutnya besar dan tidak selesa kalau duduk di belakang sambil memegang anak mereka.

"Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku apatah lagi di bulan Ramadan ini dan tak lama lagi dah nak sambut Aidilfitri," katanya.

Jenazah Mohd Azrie dibawa pulang ke Guar Chempedak untuk dikebumikan petang ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dipercayai digilis lori di Kilometer 16.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Napoh, malam tadi.

Bagaimanapun, isteri dan anak lelaki mereka terselamat dalam kejadian itu.

Disiarkan pada: March 23, 2024 @ 1:43pm
d