utama

Sang bedal teman berbuka puasa

Oleh Redzuan Muharam

Gombak: Ketika insan lain berkumpul dengan rakan dan keluarga untuk berbuka puasa, lain pula kisah Rizal Manoor yang ditemani 'sang bedal' demi tuntutan kerja.

Meskipun reptilia itu berbahaya namun pengalaman Mohd Rizal, 39, sebagai penjaga haiwan sejak 15 tahun lalu mampu 'menjinakkan' buaya berkenaan.

Kisah Mohd Rizal itu juga mendapat perhatian selepas dia memuat naik gambar bersama buaya diberi nama Lipis ketika berbuka puasa, baru-baru ini.

Menerusi gambar dikongsikan, Mohd Rizal nampak tenang walaupun mulut buaya di sebelahnya dalam keadaan ternganga.

Menurut Mohd Rizal, tuntutan kerja menyebabkan dia tiada masa untuk berbuka di rumah mahupun di luar dalam Ramadan.

Jadi, ada ketikanya, dia akan berbuka di tempat kerja dengan ditemani Lipis.

"Bukan setiap hari tapi pada hari tertentu saja (berbuka puasa) dengan Lipis.

"Nak kata takut, saya sudah biasa dan tahu perangainya dan bila masa ia nak terjah.

"Tapi jinak atau tidak pun haiwan itu, kita kena berhati-hati sebab apa pun ia buaya dan kita tahu haiwan itu macam mana," katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kerjanya dekat 99 Wonderland Park, di sini.

Berkongsi pengalamannya dengan reptilia ganas itu, Mohd Rizal mengakui pernah cedera ketika melatih buaya di taman haiwan berkenaan.

Mohd Rizal berkata, kejadian berlaku ketika dia mula bertugas di taman haiwan itu kira-kira hampir tiga tahun lalu.

"Waktu itu, saya nak latih seekor buaya bernama Milah dan mungkin kerana nak bagi salam perkenalan, saya kena gigit dengannya.

"Kesannya, bahagian belakang ibu jari saya cedera tapi tak serius namun itu yang terakhir kerana selepas kejadian berkenaan, semuanya (buaya) sudah jadi teman tapi mesra saya.

"Kalau kita berjaga jaga kadang-kadang kena jadi amalan saya adalah baca doa dan selebihnya yakin pada Allah SWT," katanya.

Berhubung rutin hariannya, Mohd Rizal berkata, tugas hakikinya adalah melatih dan membersihkan tempat haiwan serta kawasan yang menjadi laluan pengunjung.

"Di samping itu, saya adalah melayan pengunjung yang datang dan kongsi ilmu dengan mereka mengenai buaya dan ular.

"Seronok dan niat saya nak kerja juga nak naikkan nama taman haiwan ini.

"Bagi mereka yang minat kerja dalam bidang ini boleh cuba tapi kena minat kerana kalau kerja tanpa minat saja memang tak jadi," katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2024 @ 9:46pm
d