utama

Raja romantik komedi kembali

Oleh Georgie Joseph

APABILA menyebut gelaran Raja Romantik Komedi, nama pelakon Kim Soo Hyun tentu sekali yang pertama terlintas di fikiran. Penggemar tegar siri Korea Selatan rata-rata pasti bersetuju bahawa dialah paling layak memegang gelaran itu.

Jika disingkap profil peribadinya pun, Soo Hyun, 36, memiliki deretan drama romantik komedi sepanjang bergelar anak seni. Personalitinya paling tepat untuk genre itu, malah hakikatnya kebanyakan drama hit lakonannya adalah berkonsep romantik komedi.

Kali terakhir muncul menerusi drama One Ordinary Day pada 2021, Raja Romantik Komedi ini kini kembali selepas tiga tahun berehat. Terbaharu, dia muncul dengan sebuah lagi karya romantik komedi berjudul Queen of Tears di Netflix.

Menerusi sidang medianya baru-baru ini, Soo Hyun jelas teruja dapat muncul kembali di kaca TV selepas beberapa tahun. Dia juga bersyukur masih ramai sabar menantikan kemunculannya dan bertuah dapat terbabit projek yang bagus.

"Terima kasih. Saya muncul kembali menerusi Queen of Tears selepas tiga tahun. Pertama, saya ingin menzahirkan perasaan teramat bersyukur terhadap semua yang setia menunggu.

"Kami terlalu sibuk menyiapkannya yang termampu sepanjang satu tahun dan bersungguh jayakan penggambaran Queen of Tears. Dua pengarah dan kakitangan produksi bekerja keras tahun lalu.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan betapa saya menghargainya," katanya yang memegang watak sebagai Baek Hyun Woo dalam drama arahan Jang Young Woo dan Kim Hee Won itu.

Sudah berpengalaman lebih 15 tahun dalam dunia lakonan, Soo Hyun tetap berdepan pengalaman baharu untuk setiap projek. Aspek itulah sebenarnya yang menyerikan lagi perjalanan kariernya.

Demi Queen of Tears khususnya, dia masih berdepan cabaran dan tekanan meskipun dengan pengalaman besarnya. Disebabkan penggambaran juga ada dibuat di luar negara, ada hal baharu yang dirasakan agak mencabar.

"Saya ada berdepan momen jantung berdegup laju. Kami teruja apabila dapat ke Jerman untuk penggambaran babak-babak luar negara. Ada sebuah babak yang sangat menuntut permainan emosi daripada saya.

"Tak dinafikan, saya berasa sangat gementar dan pada masa sama agak tertekan. Memandangkan ia di luar negara, atmosferanya berbeza. Bayang matahari di udara pun terasa lain dan terbit kejanggalan di sana," katanya.

Berkongsi alasan kenapa dia kembali menjayakan siri romantik komedi, Soo Hyun tertarik dengan kisah hidup wataknya itu. Katanya, ada bahagian besar menuntut wataknya tinggal bersama keluarga mentua.

Elemen itu saja sudah membuatkan dia mahu mencuba diletakkan dalam situasi demikian. Katanya, paling mengagumkan juga pastinya permainan watak-watak lain yang cukup padu dalam naskhah dramatik itu.

"Terdapat banyak aspek yang menjadi tarikan penting dalam drama ini. Antaranya adalah watak saya, Baek Hyun Woo duduk serumah dengan keluarga mentuanya. Saya sentiasa teringin sahut cabaran mahu tinggal bersama mentua.

"Penonton juga kena melihat betapa luar biasanya corak ekspresi lakonan yang dipamerkan barisan bintang drama kami ini," katanya.

Bercerita lebih terperinci, wataknya itu turut berdepan krisis hidup dalam pada disulami cinta. Ia menceritakan kisah perkahwinan yang penuh dilema.

"Baek Hyun Woo adalah pemuda kampung yang belajar bersungguh-sungguh menjadi peguam dan kemudian mendapat kerja di sebuah syarikat. Selepas itu dipertemukan dengan seorang wanita bernama Hong Hae Hin.

"Mereka jatuh cinta dan mendirikan rumah tangga. Tiga tahun berlalu, tanpa dijangka, dia (Baek Hyun Woo) berdepan penyeksaan tinggal serumah dengan keluarga mentua. Dia inginkan perceraian, namun ada halangan mendapatkannya," katanya.

Mengakui naskhah itu cukup hebat, Soo Hyun turut memuji bagaimana kesungguhan disalurkan tunjang belakang tabir. Baginya, mereka bukan calang-calang dan memang serius memastikan drama itu tiada cacat cela.

"Pujian ini mungkin kedengaran melebih-lebih, tapi penulisnya iaitu Park mencurahkan segala rasa dan kudratnya terhadap naskhah ini. Justeru, semua karakter tampak sangat hidup dan mempesona," katanya.

Selain Soo Hyun, Queen of Tears yang mula ditayangkan di Netflix sejak 9 Mac lalu, turut dibarisi pelakon berkaliber lain seperti Kim Ji Won, Park Sung Hoon, Kwak Dang Yeon, dan Lee Joo Bin.

Disiarkan pada: March 24, 2024 @ 6:00am
d