utama

Otai kekal berbisa

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Tidak semua orang dikurniakan bakat sebagai penyanyi. Menyanyi bukan saja perlu memiliki suara sedap, tetapi juga mahir dalam teknik, lenggok serta penghayatan ketika menyampaikan sesebuah naskhah ataupun menjayakan acara hiburan.

Penampilan figura popular semakin meniti usia emas menjadi perhatian ramai sehingga ada yang bertanya mengenai petua atau 'rahsia' diamalkan mereka sepanjang berdekad lama bergelar artis.

Kelompok artis popular terbabit antaranya penyanyi, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Awie mendedahkan tiada jalan pintas sebaliknya mengakui mengekalkan tahap disiplin tinggi dan berkerja keras untuk melakar nama dalam industri seni. Ikuti perkongsian mereka bersama wartawan Harian Metro.

DATUK RAMLI SARIP

Gelaran otai masih berbisa dan penghibur bersuara emas sering dilabel pada penyanyi 'senior' atau sudah berstatus warga emas seperti Datuk Ramli Sarip, 72.

Ramli atau mendapat gelaran Papa Rock juga vokalis Sweet Charity tetap ligat di pentas nyanyian selain menjayakan persembahan konsert yang tempoh masa melebihi dua jam.

Ternyata label 'warga emas' itu boleh dikatakan sekadar status semata-mata berikutan faktor usia meningkat namun dari aspek tenaga ketika membuat persembahan sama sekali tidak pernah menghampakan dan amat membuat penonton teruja.

Ramli berkata, pengalaman yang menjadikannya seperti hari ini dan semuanya tidak boleh dijual beli kerana perjalanan dilalui dalam karier seni itu, hanya beliau saja menghadapi dan memahaminya.

"Bagaimana boleh menjaga suara dan stamina pada usia emas ini, saya rasa pengalaman. Ia (pengalaman) sangat penting sebab pengalaman itu tak boleh belajar, tapi diajar dalam perjalanan harian kita, terutama ketika persembahan.

"Begitu juga dengan suara. Sebenarnya, suara anugerah yang setiap orang mempunyai kurniaan suara tersendiri. Tapi, kebetulan mungkin pengalaman saya yang agak lama dan panjang dalam karier seni ini banyak membantu.

"Manakala, stamina itu yang dah ada dalam pengalaman kita dan bagaimana kita nak gunakannya (stamina) mengikut yang patut digunakan kerana untuk menyanyi empat atau lima lagu selama setengah jam hingga sejam tiada masalah bagi saya," katanya.

Mengulas tips pemakanannya sama ada mengambil suplemen atau makanan tambahan, Ramli tidak menafikan dan memberitahu beliau lebih fokus kepada pengambilan makanan sunnah.

"Bagi suplemen pula, saya sudah lama amal makanan sunah, terutama pengambilan habatus sauda, madu, susu, minyak zaitun dan pelbagai lagi.

"Boleh dikatakan, itu antara makanan sunnah yang diambil setiap hari. Malah, saya tidak merokok," katanya.

Sudah separuh abad berkecimpung dalam karier nyanyian, Ramli yang berasal dari Singapura dan popular di negara ini dikenali pendengar muzik dengan lagu seperti Kamelia, Doa Buat Kekasih, Perjalanan Hidup, Istilah Bercinta Bukan Kerana Nama, Teratai, Musafir Rindu dan banyak lagi.

DATUK JAMAL ABDILLAH

Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah mengakui dia sangat menjaga aspek pemakanan, bersenam dan rehat yang cukup untuk mengekalkan suara dan staminanya pada usia emas.

Jamal yang akan mencecah usia 65 tahun tanggal 7 Mei nanti menitik beratkan penjagaan kesihatan kerana faktor ahli keluarganya yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

"Alhamdulillah, saya baru selesai pemeriksaan tahunan kesihatan baru-baru ini dan doktor beritahu bacaan gula dalam darah, tahap kolesterol, paru-paru, jantung, semuanya okay.

"Sebagai penyanyi, saya pastikan dapat rehat yang cukup dengan tidur malam empat jam dan tidur siang selepas solat Zuhur dua jam.

"Selepas bangun Subuh, memang menjadi rutin saya bersenam di gimnasium sejak dulu. Kalau ada persembahan pula, saya buat latihan intensif dengan pergi berjogging selama sejam.

"Selain itu, saya turun ke ladang lembu bantu pekerja merawat lembu yang sakit dan sebagainya, sekali gus untuk mengeluarkan peluh," katanya.

Mengenai produk penjagaan kesihatan pula, kata Jamal, dia mengambil suplemen seperti halia, bawang putih, kulit kayu manis dan kunyit dalam bentuk kapsul untuk menjaga kesihatannya.

"Produk ini keluaran dari Amerika Syarikat dan bagus untuk mencegah dari pelbagai penyakit merbahaya seperti kanser dan sebagainya.

"Selain itu, saya ambil vitamin Omega atau minyak ikan untuk menjaga kesihatan jantung.

"Saya tidak mengambil ubat-ubatan dari doktor, sebaliknya amalkan suplemen untuk menjaga kesihatan," katanya.

Kata Jamal lagi, arwah bapa banyak mengajarnya petua dan cara menjaga suara dan aspek pernafasan ketika zaman mudanya dulu.

"Antara petua arwah bapa dengan amalkan minum campuran sepotong kunyit, halia, bawang putih, jintan manis ditumbuk halus dan digaulkan dengan kuning telur ayam dan madu lebah untuk menjaga suara dan pernafasan.

"Selain itu, saya kurang ambil makanan laut dan amalkan minum air limau suam sejak dulu," katanya.

DATUK AWIE

Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, 55, pula mendedahkan dia menjaga keseimbangan antara kekuatan suara dan tenaga fizikal adalah kunci kejayaan dalam persembahan.

"Sebenarnya, ia sama seperti badan, yang mana kalau lama tak dilatih, stamina akan kurang. Sama juga seperti vokal, yang paling utama adalah latihan.

"Latihan demi latihan diperlukan supaya suara boleh dikekalkan. Untuk persembahan berdurasi panjang, perlu latihan mencukupi," katanya.

Latihan merangkumi teknik pernafasan yang betul, vokal sistematik dan elak amalan yang boleh merosakkan suara.

"Saya pernah alami masalah berkaitan suara. Ada ketika, saya demam sehari sebelum persembahan. Pernah juga saya jalani pembedahan pada 1994 dan 2007 kerana tekak saya terkoyak.

"Ini biasanya berlaku kerana kesalahan sendiri. Kadang kita terleka. Peti suara ini sangat lembut. Ia bahagian dalaman dan bukan macam otot di luar. Jadi, ia rumit dan sensitif.

"Kena jaga minuman dan makanan, apa yang boleh dan tak boleh. Contohnya, kalau kita minum ais terlalu banyak dan kunyah ais, serpihan ais itu boleh mencederakan peti suara kita.

"Minuman sejuk boleh diminum, tapi, biar ia sejuk sahaja dan bukan kunyah ais itu. Kalau makanan pula, jangan makan makanan yang terlalu kasar," katanya.

Selain itu, Awie berkongsi pengalamannya mendapatkan nasihat dari pakar-pakar vokal untuk membantu meningkatkan kecekapan vokal mereka.

"Usia tidak membataskan suara kita. Kalau dapat latihan yang betul, ia akan membantu kecuali kalau dah terlalu tua sangat," katanya.

Di samping penjagaan suara, penjagaan tenaga fizikal penting bagi memastikan dirinya dalam keadaan fizikal yang sentiasa bersedia.

"Untuk pastikan kekal cergas, kita kena ambil suplemen (makanan tambahan). Kena tambah semula benda itu supaya tahap kekuatan kita di pentas, sama.

"Saya bina gim di rumah. Kalau ada konsert besar, saya akan bangun pagi, kemudian panaskan badan beberapa jam di gim, terus ke studio dan berlatih sampai malam. Setiap hari saya lakukan rutin itu sebelum konsert," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2024 @ 7:01am
d