utama

Lagi dihulur, lagi haloba

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Memasuki Malaysia sebagai pelancong menggunakan pasport antarabangsa namun giat mengemis dengan pelbagai cara untuk mengundang belas ihsan penduduk tempatan.

Sejak dulu lagi, Malaysia dianggap sebagai 'lubuk' rezeki dan ramai warga asing mengambil peluang untuk meraih rezeki mudah dengan mengemis.

Pendedahan Metro Ahad minggu lalu menjadi bukti betapa ada segelintir mereka memilih Ramadan untuk mencari makan sehingga mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak.

Kafe Ahad minggu ini mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, NORAZMAN OTHMAN mengenai isu itu termasuk taktik yang digunakan serta tindakan yang diambil seperti yang dikongsikan kepada wartawan FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS.

Mengapa isu mengemis masih berlarutan sehingga hari ini?

Masalah pengemisan sama ada yang dilakukan oleh warganegara atau bukan warga negara masih berlarutan sehingga kini adalah disebabkan beberapa faktor.

Antaranya disebabkan faktor ketiadaan pekerjaan, pendapatan rendah, masalah kemiskinan, tiada tempat tinggal, dibuang keluarga, sakit mental, masalah kesihatan lain dan bekas banduan.

Berdasarkan statistik kes orang papa diambil mengikut faktor utama, kewarganegaraan antara 2019 hingga 2023, bilangan kes membabitkan bukan warganegara adalah 1,907 kes iaitu 564 kes pada 2019, 322 kes (2020), 109 kes (2021), 235 kes (2022) dan 677 kes pada tahun lalu.

Operasi membanteras kegiatan mengemis oleh warga asing tidak dapat dilakukan oleh JKM sendirian. Komen tuan?

Berdasarkan kuasa pegawai kebajikan masyarakat diperuntukkan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977, ada tiga tindakan mengambil orang papa yang dijalankan oleh JKM iaitu tindakan mengambil orang papa secara ad hoc berdasarkan aduan, tindakan mengambil orang papa secara berkala atau secara berjadual yang dirancang mengikut kesesuaian lokasi dan tindakan mengambil orang papa secara bersama agensi penguatkuasaan lain.

Subseksyen 3(1) Akta Orang-Orang Papa 1977 menyebut kuasa Pegawai Kebajikan Masyarakat boleh mengambil orang papa sebelum membawa orang papa terbabit ke mahkamah majistret dalam tempoh 24 jam.

Dalam tempoh itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat akan menjalankan intervensi sosial untuk mendapatkan maklumat latar belakang sosio-ekonomi, maklumat kewarganegaraan, maklumat kesihatan dan lain-lain.

Apa antara cabaran kepada penguat kuasa JKM?

Cabaran dihadapi JKM adalah orang papa ini terdiri daripada pelbagai kategori seperti bukan warganegara, tiada status kewarganegaraan, tiada identiti atau mempunyai dokumen pengenalan diri palsu, ada masalah kesihatan mental atau masalah penyakit berjangkit, penagih dadah, alkohol atau penghidu gam.

Ia memerlukan tindakan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan dan bukannya JKM semata-mata memandangkan Pegawai Kebajikan Masyarakat dan JKM ada kuasa terhad berdasarkan Akta Orang-Orang Papa 1977.

JKM harap semua agensi penguatkuasaan memainkan peranan dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan kategori orang papa yang diambil mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa kerana bukan semua orang papa terbabit sesuai dijaga dan dipulihkan di rumah kebajikan.

Selain Akta Orang-Orang Papa 1977, ada beberapa akta lain yang berkuat kuasa untuk menangani isu pengemis iaitu Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pendaftaran Negara 1959, Akta Kesihatan Mental 200, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Minor Offences Act 1955, Akta Racun 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Kutipan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947, Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan pelarian dan Pemohon Suaka.

Sehubungan dengan itu, bagi mengelak pelaksanaan kuasa tidak dapat dijalankan di bawah peruntukan akta dinyatakan, maka tindakan mengambil orang papa secara bersama agensi penguatkuasaan yang lain kaedah terbaik bagi membanteras kegiatan mengemis.

Aktiviti mengemis oleh warga asing dikatakan berleluasa ketika bulan Ramadan, apa tindakan JKM untuk mengatasinya?

JKM tiada statistik khusus bilangan pengemis yang diambil pada Ramadan. Berdasarkan pemerhatian, pengemis tidak kira kewarganegaraan lebih banyak bertumpu di masjid utama dan kawasan tumpuan membeli-belah kerana orang awam lebih terbuka bersedekah pada hari atau bulan tertentu sebagai memenuhi saranan agama Islam, contohnya untuk memperbanyakkan sedekah terutama pada Jumaat dan ketika Ramadan.

Namun JKM sentiasa mengadakan program advokasi melalui Kempen Kesedaran dan Pencegahan Pengemisan sebagai strategi jangka panjang meningkatkan kesedaran kepada masyarakat dan komitmen masyarakat diperlukan agar tidak memberi derma atau sumbangan kepada pengemis.

Melalui kempen ini, diharap usaha kerajaan membanteras aktiviti pengemisan berjaya dan seterusnya dapat mengawal aktiviti pengemisan daripada berleluasa.

Masyarakat seharusnya menyalurkan derma atau sumbangan kepada saluran yang betul seperti rumah kebajikan, pertubuhan sukarelawan kebajikan yang berdaftar, pertubuhan amal, rumah ibadat dan Yayasan Kebajikan Negara.

Tindakan mengambil orang papa secara berkala di kawasan tumpuan ramai juga kerap diadakan.

Berdasarkan statistik Tindakan Mengambil Orang Papa Mengikut Jenis Operasi dan Negeri (2019 hingga 2023), pada 2019, sebanyak 2526 operasi di jalankan di seluruh negara membabitkan tiga jenis operasi iaitu bersepadu, berjadual atau berkala dan tidak berjadual atau tidak berkala.

Sepanjang 2020 pula, 1547 operasi dilaksanakan manakala pada 2021, 1447 operasi dilakukan di seluruh negara.

Pada 2022 pula 846 operasi dilakukan manakala pada tahun lalu 1182 operasi dilaksanakan di seluruh negara membabitkan semua kategori operasi berkenaan.

Apakah taktik yang biasa digunakan oleh pengemis ini untuk meraih simpati orang awam?

Berdasarkan pengalaman JKM dalam mengendalikan operasi pengemis, ada segelintir pengemis menggunakan kanak-kanak atau bayi untuk meraih simpati orang awam.

Ada juga dalam kalangan kanak-kanak atau bayi itu orang kurang upaya (OKU) dan terdapat juga keadaan di mana pengemis berpura-pura sebagai OKU penglihatan atau fizikal atau pesakit menggunakan peralatan perubatan seperti beg air kencing, balutan luka pada kaki atau tangan dan sebagainya.

Apakah sikap pemurah rakyat Malaysia menjadi tarikan utama mengapa ramai warga asing mengemis di negara ini?

Ya. Sikap pemurah rakyat Malaysia antara punca pengemis sama ada oleh warganegara atau bukan warga negara untuk meneruskan aktiviti mengemis.

Ianya dapat dibuktikan melalui eksperimen sosial pernah dijalankan sukarelawan syarikat penyiaran terkenal di sekitar kawasan tumpuan di Kuala Lumpur pada 2023 dan sukarelawan berkenaan berjaya memperoleh RM42.00 dalam masa 15 minit saja.

Dalam isu ini, apa nasihat tuan kepada orang ramai bagi mengekang penularan aktiviti mengemis dalam kalangan warga asing di negara ini?

Menangani gejala pengemisan tanggungjawab bersama di antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Oleh itu adalah menjadi harapan JKM supaya masyarakat sama-sama membanteras isu pengemisan dengan tidak memberi sumbangan kepada mereka agar aktiviti pengemisan dapat dikurangkan.

Aktiviti pengemisan juga menjejaskan imej kerajaan dan negara dan orang awam perlu sedar sebarang bentuk permohonan sumbangan perlu mendapat kelulusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Oleh itu, pastikan surat kelulusan permohonan sumbangan yang ditunjukkan oleh pengemis berkenaan
sah di sisi undang-undang.

Disiarkan pada: March 24, 2024 @ 7:31am
d