utama

Keldai, biri-biri jadi mangsa sasaran penembak tepat Israel

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Tidak hanya penduduk Palestin di Gaza dibunuh sesuka hati, malah keldai dan biri-biri turut menjadi mangsa penembak tepat tentera Israel," ujar Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wajihan.

Menurutnya, tindakan gila tentera Israel itu bertujuan mengurangkan sumber makanan kepada penduduk Palestin yang kini berdepan krisis kebuluran akibat kepungan Israel.

"Haiwan ternakan turut menjadi sasaran dan tidak terhindar. Tersebar klip video terhadap tindakan penembak tepat Israel membunuh haiwan yang berkeliaran di celah runtuhan kediaman.

"Berdasarkan maklumat, semua sekolah, hospital, masjid, universiti, stadium dan infrastruktur di Tebing Gaza musnah dalam serangan memasuki bulan ke enam ini," katanya.

Beliau berkata, Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar yang berlindung di bandar Rafah bagaimanapun terselamat dan berjaya menghubunginya semalam.

"Abu Ayesh memaklumkan serangan udara dilakukan jet pejuang Israel semakin menggila. Ia dilakukan terutama pada waktu malam. Bom dan roket ditujukan ke kawasan berhampiran kediamannya.

"Dia mengharapkan doa rakyat Malaysia untuk keselamatan penduduk Gaza. Sehingga kini dia terus gigih berusaha menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk Palestin di sana," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2024 @ 12:01pm
d