utama

Rai perbezaan sambut ketibaan Aidilfitri

Oleh Redzuan Muharam

Rawang: Meskipun berlainan kaum, agama dan bangsa, penduduk perumahan di Setia Eco Templer, di sini ketepikan perbezaan itu dengan berganding bahu memasang hiasan lampu raya di kawasan perumahan mereka bagi meraikan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas salah seorang penduduk, Mohd Faizal Mat Nayan, 41, memuat naik video mereka memasang hiasan berkenaan dalam satu hantaran di TikTok.

Berkongsi kisah itu, Mohd Faizal berkata, idea untuk memasang hiasan lampu raya itu adalah hasil perbincangan dan persetujuan 33 pemilik rumah di kawasan berkenaan.

Katanya, ia adalah kesinambungan daripada inisiatif mereka menggantung tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari lalu.

"Kawasan perumahan ini baru tiga tahun namun kami sudah mengenali satu sama lain.

"Tahun ini, kami rancang lakukan sesuatu untuk sambut perayaan bermula dengan tanglung pada Tahun Baharu China lalu dan kini lampu bulan bintang pula sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

"Ini pertama kali kami lakukannya dan kumpul duit untuk beli dan pasang kira-kira 400 lampu di sekitar kawasan perumahan.

"Hasil kerjasama, kami dapat pasang dan gantung hiasan lampu berkenaan dalam tempoh dua jam 30 minit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menerusi Mohd Faizal, inisiatif itu bukan hanya merapatkan hubungan sesama jiran malah meraikan kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat.

Baginya, usaha itu juga membantu dia dan jirannya belajar menghormati satu sama lain.

"Secara tak langsung, ia dapat menyatukan dan mengukuhkan perpaduan dalam kejiranan kami.

"Mudah-mudahan, usaha ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

"Niat saya kongsi di TikTok kelmarin pun sekadar nak simpan untuk kenangan dan tak sangka pula tular hingga meraih lebih 1.8 juta tontonan.

"Rata-ratanya beri komen positif tetapi ada juga negatif tapi kita pandang yang baik saja," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2024 @ 9:58pm
d