utama

Cintaku hanya pada lakonan

Oleh Najiy Jefri

BIARPUN memiliki pakej lengkap sebagai pelakon, Sanjna Suri mengakui perjalanan karier seninya sejak lima tahun lalu tidak berjalan dengan mudah.

Kata pemenang Miss Intercontinental Malaysia 2017 dan Miss Supranational Malaysia 2018 itu, sehingga hari ini dia masih belum mampu menambat hati stesen TV dan penerbit tempatan untuk terus mempercayai bakat lakonan yang dimiliki.

Meskipun memiliki rupa paras yang jelita dan seksi, tapi Sanjna menjelaskan, segala kelebihan itu juga tidak memberi laluan mudah untuk dirinya diterima baik dalam pasaran tempatan ini.

"Saya akui tidak mudah untuk membina nama dalam bidang lakonan ini. Disebabkan saya bersih daripada kontroversi menyebabkan kehadiran saya seakan-akan tidak dipandang. Tambah pula, orang luar tidak suka dengar berita yang baik saja.

"Kalau ada isu baharu yang mengaitkan nama saya, tiba-tiba nama saya menjadi sebutan dan mula dikenali... itupun sekejap saja.

"Jadi kalau boleh saya nak kekal relevan kerana saya sangat cintakan kerjaya sebagai pelakon ini," katanya.

Tambah Sanjna, sebagai anak seni dia mengakui memang mengelak untuk mencipta sebarang kontroversi selain enggan menimbulkan masalah yang akhirnya akan mencemarkan imej dan maruah keluarganya.

"Kalau saya nak cipta kontroversi, sekarang pun saya boleh dedahkan macam-macam cerita.

"Misalnya saya pernah diganggu suami orang dan kisah lain, tapi saya tidak berminat untuk mencipta 'drama' seperti itu untuk popular.

"Jujurnya selepas lebih lima tahun dalam bidang seni, saya kini sudah semakin yakin untuk mencuba apa saja karakter baharu," katanya.

Katanya lagi, dia juga sudah puas melakonkan watak antagonis sebagai wanita 'penyondol'.

"Sebenarnya saya tak kisah untuk membawakan watak antagonis kerana saya percaya watak inilah yang lebih cepat memperkenalkan saya dalam bidang ini.

"Cuma saya sudah bosan untuk menerima tawaran sebagai perampas kerana saya tidak suka orang melabel saya hanya mampu membawa satu watak saja.

"Kalau beri saya peluang baharu, sudah pasti saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk menghidupkan sesuatu karakter itu," katanya.

Menyentuh mengenai kehidupan peribadi, Sanjna mengakui jarang berkongsi kisah hidupnya kepada umum.

Katanya, dia lebih selesa dengan status solo kerana dapat mengejar impiannya dengan lebih cepat.

"Kerjaya ini sangat penting untuk hidup saya. Tanpa kerja saya tak boleh nak teruskan hidup dan membahagiakan keluarga.

"Andai kata jodoh saya tiba cepat sekali pun, saya akan cari pasangan yang tiada masalah untuk saya bekerja selepas berkahwin.

"Bagi saya, kalau saya tidak bekerja hidup saya akan lebih muram dan suram," katanya.

Dalam pada itu, sempena Ramadan yang penuh kemuliaan ini, Sanjna berkata, dia ada bercadang untuk meneruskan amalan berpuasa yang pernah dipelajari beberapa tahun lalu.

"Saya pernah cuba untuk berpuasa dan berjaya menahan diri daripada lapar dan minum sehingga tiba waktu azan.

"Tapi keadaan itu membuatkan saya tiba-tiba menjadi marah dan sangat beremosi. Saya sedar itu bukan sikap yang patut saya luahkan.

"Jadi tahun ini saya berazam untuk berpuasa dengan lebih baik dan cuba membetulkan niat untuk berpuasa kerana ia baik untuk kesihatan tubuh badan saya," katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2024 @ 6:50am
d