utama

'Ini tahun ke -3 saya berpuasa'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Sudah tiga kali menjalani puasa Ramadan selepas memeluk Islam pada 15 Februari 2022 lalu, pelakon veteran Margaret Gan, 81, mengakui jiwanya semakin tenang dan kehidupan juga baik-baik saja.

Menurut ibu seorang anak angkat lelaki ini, dia masih lagi terus belajar melengkapkan dirinya sebagai seorang Muslim namun kegembiraan dalam kehidupan dinikmati membuatkannya berasa amat bersyukur.

"Sejak saya memeluk Islam dua tahun tahun lalu, kiranya semua perkara dalam kehidupan saya berjalan lancar. Apa yang nak saya buat dan nak diuruskan semuanya syukur Alhamdulillah, dipermudahkan oleh Allah.

"Apatah lagi, pada usia saya yang dah 'emas' ini, masih sihat dan saya juga boleh berpuasa penuh sehari dari bangun bersahur di waktu pagi sehinggalah berbuka pada malamnya.

"Malah, aktiviti saya di bulan Ramadan selain beribadat adalah memenuhi undangan berbuka daripada rakan-rakan yang sanggup datang mengambil dan menghantar saya balik ke rumah," katanya.

Nenek dua orang cucu ini berkata, selama menjalani puasa sekarang, dia lebih banyak berbuka puasa di luar bersama rakan-rakan dan ia amat menyeronokkan serta menyenangkan.

"Anak saya tidak menghalang untuk berbuka puasa di mana-mana bersama dengan rakan-rakan, asalkan saya tidak pergi bersendirian. Kiranya keselamatan saya perlu diutamakan.

"Saya juga tidak cerewet makan, tapi kena makan benda lembut. Jadi, untuk hidangan sahur pun saya makan makanan seperti sayur yang direbus atau dibuat sup," katanya.

Margaret berkata, dia sendiri sebenarnya sudah terbiasa sejak muda mengamalkan makan hidangan rebus dan bersup yang baik untuk penjagaan kesihatan bagi mengelakkan dijangkiti sakit berbahaya.

"Saya selalunya masak hidangan untuk sahur sebelum tidur dan paginya panaskan saja. Malah, pada usia ini saya juga makan dalam portion kecil bagi mengalas perut dan sudah cukup untuk bertahan hingga berbuka nanti.

"Inilah yang bagi saya kenangan indah Ramadan. Apapun, rezeki kesihatan diri yang diberikan Allah kepada kita sangat berharga. Jadi, saya memang sedaya-upaya cuba menjaga kesihatan dengan baik. Tapi kalau tiba-tiba sakit, itu sebab Allah nak uji kita," katanya.

Terdahulu, Margaret bersyukur Allah memberikan hidayah kepadanya memeluk Islam ketika berusia 79 tahun dan keputusan itu dibuat dengan kerelaan hati walaupun sebelumnya sering diajak oleh anak, Muhammad Taufiq Gan, 39.

Difahamkan Muhammad Taufiq sudah memeluk Islam ketika dia berusia 14 tahun dan masih bersekolah namun Margaret sama sekali tidak menghalang keputusan dibuat anaknya itu dan menerima seikhlas hati.

Disiarkan pada: March 25, 2024 @ 7:01am
d