utama

'Selamat jalan abang'

Oleh Redzuan Muharam

Rawang: "Innalillahiwainnailaihirojiun. Allah SWT sayangkan abang. Abang pergi bulan yang baik. Selamat jalan abang. Takde (tiada) dah sahabat sayang."

Demikian coretan Auni Afiqah Muthal'lib, 34, menerusi hantaran di TikTok selepas suaminya, Norzam Iskandar Nor Idris meninggal dunia, semalam.

Auni Afiqah berkata, doktor mengesahkan suaminya meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 5.38 petang semalam.

"Sudah lima hari abang (suami) batuk. Dua hari lalu, dia nampak sesak nafas tapi bila cakap nak bawa pergi klinik dia tak nak.

"Semalam dia minta nak pergi klinik untuk rawatan nebulizer tapi klinik minta rujuk ke hospital terus.

"Sampai di hospital, bacaan oksigennya sudah 40, dia hilang nadi...doktor kemudian buat bantuan pernafasan (CPR) dan abang stabil...

"Selepas itu, tekanan darahnya menurun dan sekali lagi hilang nadi lalu doktor buat CPR kemudian okay. Selepas jadi kali ketiga, mungkin dia tak mampu bertahan dan akhirnya meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun sedih, Auni Afiqah reda dengan pemergian suaminya dan bersyukur kerana ramai yang mendoakan.

Menurut Auni Afiqah, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Garing,di sini tengah malam tadi.

Semalam, Auni Afiqah berkongsi keadaan suaminya yang diintibasi selepas bacaan oksigen menurun.

Perkongsian Auni Afiqah itu mendapat perhatian pengikutnya yang rata-ratanya mendoakan kesembuhan Norzam Iskandar.

"Untuk yang mengenali abang Is (Norzam Iskandar), abang korang (kau orang) sayang, tolong doakan dia.

"Oksigen dia menurun sampan 40, jadi dia ditidurkan (diintubasi). Doakan abang Is sihat macam selalu, boleh gelak lagi dengan korang.

"Sayang rindu abang , cepatlah bangun sihat macam selalu," tulisnya dalam satu hantaran.

Beberapa jam kemudian, Auni Afiqah berkongsi berita duka apabila mengesahkan suaminya sudah meninggal dunia.

Auni Afiqah turut memuat naik beberapa hantaran bagi meluahkan perasaannya yang ketika itu masih berduka kerana hilang insan bergelar suami.

"Janji nak pergi sama? tapi abang tinggalkan sayang. Siapa nak melawak dengan sayang lepas ini?

"Sayang kuat, saya reda dengan pemergian abang. Abang rehat je (saja) tau (tahu), jumpa lagi tau nanti, kejap je (sekejap saja) lagi..," tulisnya.

Tiga tahun lalu, Harian Metro pernah melaporkan kisah Norzam Iskandar Nor Idris dan Auni Afiqah yang tidak sama seperti pasangan suami isteri lain kerana kedua-dua mereka diuji dengan penyakit kronik.

Norzam Iskandar mengalami 'Muscular Dystrophy' yang menyebabkan otot lemah dan tulang badan belakang membengkok manakala Auni Afiqah menghidap barah tiroid serta kegagalan buah pinggang tahap lima.

Meskipun begitu, ujian berkenaan bukan halangan untuk Norzam Iskandar dan Auni Afiqah mengecap bahagia sebaliknya kekurangan itu yang melengkapi mereka supaya saling menjaga satu sama lain

Kisah pasangan itu juga pernah tular kerana kerap memuat naik video menunjukkan gelagat dan kemesraan mereka menerusi perkongsian di TikTok.

Disiarkan pada: March 25, 2024 @ 9:14pm
d