utama

Ada yang sanggup datang dari Singapura beli cendol Zulhairi

Oleh Redzuan Muharam

Mersing: Biarpun ada kekurangan kerana tangan kanannya tidak berfungsi, Zulhairi Muda enggan termenung mengenangkan nasibnya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Sebaliknya, Zulhairi berikhtiar mencari rezeki dengan menjual cendol santan kelapa sawit dan pelbagai perisa di bazar Ramadan Taman Wawasan, di sini.

Berkongsi kisahnya, Zulhairi berkata, sudah lima tahun dia mencari rezeki dengan menjual cendol malah mempunyai gerai diberi nama Cendol Padu Mersing dekat Kampung Seri Lalang, di sini.

"Sudah lama saya jual cendol dan boleh dikatakan, setiap hari akan habis kerana dapat sambutan.

"Alhamdulillah, ramai pelanggan malah ada yang datang jauh dari Singapura untuk beli cendol.

"Ada juga dalam kalangan pelanggan adalah pengikut yang mengikuti perkembangan saya di TikTok singgah ke gerai.

"Cuma sempena Ramadan, saya berpindah ke sini dan setiap hari, saya jual dalam 17 balang cendol bersamaan 200 bungkus, dan mereka yang berminat nak sedekah juga boleh beli bagi tujuan infaq," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Zulhairi, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu isteri, Nurul Effi Azira Mohd Saleh, 30, dan seorang pekerja.

Katanya, kekurangan yang ada tidak mengganggu kerja hariannya kerana menggunakan anduh untuk keselesaan.

"Masuk tahun ini, sudah 14 tahun saya menjadi OKU kesan urat saraf tangan putus dan patah tulang paha paha.

"Tapi hidup perlu diteruskan dan sebagai suami, saya perlu cari nafkah untuk isteri maka kena kerja walau apa pun.

"Lagipun, sekarang puasa dan tak lama lagi raya jadi banyak nak pakai duit untuk beli kelengkapan.

"Mana yang datang beli cendol di gerai, terima kasih saya ucapkan kerana sudi berkongsi rezeki dan mudah-mudahan Allah SWT membalasnya," katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2024 @ 10:13pm
d