utama

Sudah sedia 'angkat kaki'

Oleh Norhayati Nordin

Selama 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, Nazim Othman adalah pelakon lelaki yang boleh dianggap sangat laris sebagai pelakon drama, terutama membawakan watak berat.

Dalam erti kata lain, watak yang bermain emosi mendalam sudah jadi 'makanan biasa' buatnya apabila dengan mudah mampu bertukar emosi sekelip mata mengikut kehendak skrip.

Sama ada ia karakter baik, jahat, serius, muka 'jambu' dan sebagainya sudah ada dalam genggaman Nazim, 40, dan ia pasti direalisasikan dengan sebaik mungkin agar jalan cerita naskhah drama itu sampai kepada penonton.

Seiring masa berlalu dan kematangannya dalam lakonan, Nazim sedar dia tidak selamanya di atas dan kini perlu berhadapan dengan ramai bakat pelapis baharu bidang lakonan yang muncul bersilih ganti.

"Pada ketika ini, memang terlalu ramai pelakon baharu dalam industri seni dan saya amat bersyukur kerana masih lagi dipanggil untuk tawaran berlakon sekali gus dapat mewarnainya dengan bakat saya.

"Malah, saya juga tidak hanya memilih watak utama saja nak dilakonkan. Tapi, dapat peluang sebagai watak pembantu pun saya terima juga asalkan karakter itu ada impak kepada penonton.

"Lagi pula, seingat saya semua projek drama saya pada tahun lalu memerlukan berlakon watak 'hitam' dan berat sehingga harus berhadapan masalah keletihan melampau dan badan serta emosi terganggu," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman ini lagi, dia yang suka bekerja tidak meletakkan sasaran berapa banyak drama akan dibintanginya dalam setahun serta selesa menyerahkan kepada rezeki.

"Kalau ada orang kata, alah berlakon drama saja pun takkanlah letih sangat? Sebenarnya, mereka itu tidak tahu bahawa berlakon juga tidak senang terutama yang menuntut permainan emosi.

"Apa pun, macam yang saya cakap selagi sihat, khidmat masih diperlukan dan dihargai penonton, memang saya terbuka menerima segala watak diberikan itu dengan baik serta positif," katanya.

Menurut Nazim, dia tidak mahu menjadi individu yang menolak rezeki tetapi sentiasa mensyukuri apa saja diberikan oleh Allah kepadanya kerana tidak semua orang bertuah serta bernasib baik.

Mengulas juga mengenai selebriti yang sering menjadi idola peminat kerana tuntutan karier sebagai ' public figure' yang dikenali ramai, lelaki asal Labuan, Sabah ini berkata, dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai idola masyarakat.

"Sepanjang saya ada dalam industri (hiburan) ini walaupun orang kata 'public figure' adalah selebriti yang jadi idola masyarakat kerana tatatertib, semua orang pandang, tapi saya tak pernah letakkan diri begitu.

"Saya bukan idola masyarakat. Tidak! Sebabnya, saya kenal dengan diri saya sendiri. Cuma, mungkin kalau figura-figura dalam kalangan selebriti ini ada nilai-nilai baik yang boleh dijadikan inspirasi, ikutlah.

"Kena teliti dengan baik bahagian di dalam diri seseorang selebriti itu untuk diikuti. Tapi, jangan pula mengidolakan seseorang selebriti itu sampai kalian lupa yang mereka juga manusia biasa.

"Kita semua sebenarnya sama saja, cuma yang lain ialah selebriti ini muka mereka selalu keluar televisyen, keluar filem, drama dan keluar majalah. Namun, realiti lainnya dalam kehidupan tetap sama," katanya.

Menurut pelakon drama Epilog Cinta Kirana ini, apa yang pasti dalam kehidupan hanya harus memberi keutamaan kepada mentaati Allah dan setiap hari memohon ampun kepada-Nya atas khilaf dosa dibuat.

Teringin berlakon filem

Meskipun nama dan bakat lakonan Nazim sudah dibuktikan dalam pelbagai watak, namun sehingga kini rezeki untuk dia beraksi sebagai pelakon filem yang hasilnya disiarkan pawagam belum menjadi kenyataan.

Menurutnya yang juga dikenali sebagai model iklan, tawaran berlakon filem pernah diterimanya sebelum ini pada 2012 sehingga 2014 iaitu ketika namanya berada di puncak populariti.

"Saya ada terima beberapa tawaran untuk berlakon filem ketika 2012 hingga 2014, namun saya terpaksa menolaknya atas sebab tertentu seperti tiada kekosongan jadual kerja dan skrip yang dirasakan lemah.

"Sebagai pelakon drama, pandangan saya terhadap naskhah filem adalah 'mega' dalam serba-serbi, terutama skrip yang mega, barisan pelakon pilihan mega termasuk bajet untuk pembikinan filem juga mega.

"Tetapi, apabila membaca skrip serta meneliti bajet filemnya saya berasa ia adalah naskhah bagi menghasilkan telefilem saja. Jadi, saya buat keputusan menolak dan fokus pada berlakon drama," katanya.

Bagaimanapun, Nazim meluahkan dia kini ada perancangan untuk bersara daripada lakonan dan sebelum 'angkat kaki' harapannya agar ada peluang berlakon dalam satu karya filem sebagai kenangan bermakna.

"Harapan saya, semoga ada rezeki berlakon filem dengan skrip dan genre yang sesuai. Bagi saya, sekurang-kurangnya sebelum bersara adalah tercatat dalam portfolio kerier seni pernah berlakon filem juga," katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2024 @ 7:00am
d